Ahad, 1 April 2018 | 7:24pm
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman beramah mesra dengan para penduduk setempat pada Kempen Lebihkan Makan Buah Buahan Tempatan dan Jualan Jimat Belanja Dapur Parlimen Pasir Salak hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman beramah mesra dengan para penduduk setempat pada Kempen Lebihkan Makan Buah Buahan Tempatan dan Jualan Jimat Belanja Dapur Parlimen Pasir Salak hari ini. - Foto BERNAMA

Peniaga runcit tidak perlu bimbang program jualan jimat

KAMPUNG GAJAH: Peniaga kedai runcit tidak perlu bimbang dengan program jualan murah dilaksanakan kerajaan seperti Jualan Sentuhan Rakyat dan Jualan Jimat Belanja Dapur kerana ia bukan dilakukan setiap hari.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata pengguna tetap akan berbelanja di premis perniagaan biasa seperti kedai runcit pada hari biasa.

"Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Jualan Jimat Belanja Dapur memberi kebaikan kepada orang ramai kerana dapat membeli barangan keperluan harian pada harga lebih murah daripada harga biasa.

"Ia juga dapat memberi kesedaran kepada peniaga kedai runcit supaya tidak menjual barangan pada harga terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan dan melancarkan Jualan Jimat Belanja Dapur di Dataran Belia FELCRA Changkat Lada di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, turut meminta persatuan pengguna untuk bergerak lebih aktif bagi membantu kerajaan supaya harga barangan keperluan harian sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, kementeriannya juga bersedia untuk melaksanakan program Jualan Jimat Belanja Dapur dengan lebih kerap berbanding sekali dalam sebulan sekarang.

Program Jualan Jimat Barang Dapur menawarkan harga rendah antara lima hingga 20 peratus daripada pasaran semasa mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai walaupun dilaksanakan tidak sampai setahun.

Tajuddin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil berat permintaan orang ramai supaya Jualan Jimat Barang Dapur diperbanyakkan dan dilakukan lebih kerap di kawasan luar bandar.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan program Jualan Sentuhan Rakyat akan dilaksanakan dua kali dalam sebulan selepas mendapati ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya dalam mengurangkan kos sara hidup.

Berita Harian X