Sabtu, 17 March 2018 | 3:12pm
PENYELARAS Barisan Nasional (BN) Sepang, Datuk Marsum Paing (kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif meninjau kerja-kerja awal pembinaan persimpangan bertingkat di simpang empat Dengkil, Sepang. - Foto Samadi Ahmad
PENYELARAS Barisan Nasional (BN) Sepang, Datuk Marsum Paing (kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif meninjau kerja-kerja awal pembinaan persimpangan bertingkat di simpang empat Dengkil, Sepang. - Foto Samadi Ahmad

RM74 juta bina persimpangan bertingkat Dengkil

SEPANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM74 juta bagi membina persimpangan bertingkat di simpang empat Dengkil, di sini, yang menjadi laluan utama antara Putrajaya dan Kota Warisan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, berkata kerja pembinaan sudah pun bermula awal bulan ini dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2020.

Katanya, apabila siap nanti, ia akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di kawasan itu yang sering menerima rungutan daripada penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

"Pada masa ini, kerja pembinaan sudah mencapai lapan peratus bermula dengan pembinaan jalan alternatif di kedua-dua hala jalan terbabit sebelum laluan utama ditutup secara berperingkat bagi pembinaan jejambat berkenaan," katanya kepada media ketika menghadiri Program Simulasi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Sepang di sini, hari ini.

Shahrum, yang juga Timbalan Ketua UMNO Sepang, menafikan pembinaan kemudahan itu bertujuan memancing undi untuk PRU-14 seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya cadangan mengenainya sudah dikemukakan kepada kerajaan tiga tahun lalu melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

"Kemudahan ini akan melancarkan aliran trafik ketika waktu puncak, yang bertambah teruk sejak beberapa tahun kebelakangan berpunca daripada pembangunan perumahan yang semakin pesat terutama selepas pembukaan Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Ia juga akan memanfaatkan penduduk perkampungan setempat seperti Kampung Olak Lempit, Banting dan Ladang Ampar Tenang yang berkongsi dua persimpangan untuk laluan susur keluar ke arah Jenderam dan Dengkil," katanya.

Katanya, projek berkenaan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada penghujung bulan ini.

Sementara itu, kata Shahrum, seramai 2,000 ahli jentera PRU hadir pada program hari ini yang membabitkan Parlimen Sepang dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Dengkil, Sungai Pelek dan Tanjung Sepat.

Katanya, program itu diadakan serentak di 56 DUN di seluruh Selangor sebagai persediaan dan latihan bagi jentera PRU Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU.

Berita Harian X