Selasa, 27 Februari 2018 | 5:54pm
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) melihat proses kuali air di makmal operasi Loji Rawatan Air Semenyih 2 sempena majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Loji Rawatan Air Semenyih 2, Dengkil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) melihat proses kuali air di makmal operasi Loji Rawatan Air Semenyih 2 sempena majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Loji Rawatan Air Semenyih 2, Dengkil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
 MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) menurunkan tandatangan pada plug perasmian sempena majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Loji Rawatan Air Semenyih 2, Dengkil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) menurunkan tandatangan pada plug perasmian sempena majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Loji Rawatan Air Semenyih 2, Dengkil. - Foto Zulfadhli Zulkifli

LRA Semenyih 2 tampung bekalan air di selatan Selangor

SEPANG: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 yang bakal memulakan operasi sepenuhnya Khamis ini mampu menyediakan bekalan air terawat mencukupi bagi menampung permintaan kira-kira 100,000 pengguna dan sektor industri di kawasan selatan Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, berkata loji rawatan air moden yang dibina di tanah seluas kira-kira 6.07 hektar di Jenderam Hilir itu mampu menghasilkan 100 juta liter air sehari.

"Kawasan selatan Selangor, termasuk Semenyih dan Beranang mengalami pertumbuhan pesat dalam sektor perumahan serta industri sekali gus menyaksikan permintaan terhadap air terawat meningkat.

"Pembinaan loji itu mampu menampung permintaan berkenaan dan ia mengaplikasikan penggunaan teknologi hijau dengan kemudahan kaedah 'Off River Storage (ORS)' yang menghubungkan aliran air loji dari Sungai Langat ke kolam rawatan.

"Kaedah ini turut membolehkan pengguna menikmati bekalan air bersih dalam tempoh tertentu ketika pencemaran sungai berlaku," katanya ketika berucap merasmikan LRA Semenyih 2, di sini, hari ini.

Menurut Azmin lagi, LRA Semenyih 2 dilengkapi pelbagai kemudahan moden merangkumi tangki proses, bangunan kimia, bengkel, bangunan pentadbiran, kemudahan rawatan enap cemar serta kuarters kakitangan.

Katanya, air mentah disimpan melalui tiga kolam bagi tempoh tertentu sebelum disalurkan ke LRA untuk proses rawatan.

"LRA Semenyih 2 mengurangkan kontaminasi dalam air mentah serta menjimatkan kos penggunaan bahan kimia.

" Dengan adanya LRA Semenyih 2, LRA Langat 2 dan LRA Labohan Dagang yang akan siap tahun depan, simpanan margin air di Selangor akan meningkat dari hanya tiga peratus pada akhir tahun 2017 kepada 11 peratus menjelang tahun 2019," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan rundingan pembahagian kerusi pakatan harapan (PH) di Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Azmin berkata, proses berkenaan masih berjalan lancar dan berharap dapat diselesaikan secepat mungkin.

Kata Azmin, parti komponen PH melihat keperluan untuk mewujudkan persefahaman yang bukan saja dapat menjamin kemenangan malah dapat menang dengan majoriti besar bagi memastikan sokongan berterusan kepada kerajaan Negeri Selangor.

"Begitupun, dalam mana-mana rundingan, keperluan rakyat di peringkat akar umbi juga harus diutamakan kerana ia adalah proses demokrasi. Dalam soal agihan kerusi berkenaan, ia bukan soal siapa dapat apa, tetapi yang paling penting adalah faktor boleh menang.

"Mana-mana komponen Pakatan Harapan yang boleh memberi kemenangan (pada PRU14), kita harus memberi laluan dan inilah persefahaman yang diikat selama ini," katanya.

Berita Harian X