X
Khamis, 15 Februari 2018 | 6:36pm
KETUA Bahagian Kesihatan Awam Sarawak Dr Cheong Yaw Liang memakaikan rantai khas untuk menandakan anjing sudah mendapat suntikan vaksin. - Foto Harun Yahya
KETUA Bahagian Kesihatan Awam Sarawak Dr Cheong Yaw Liang memakaikan rantai khas untuk menandakan anjing sudah mendapat suntikan vaksin. - Foto Harun Yahya

Kempen kekang rabies berjalan lancar

SIBU: Operasi menangkap anjing liar di kawasan Sibu bagi mengekang habis-habisan wabak anjing gila atau rabies, berjalan lancar, malah kempen pemvaksinan turut berjaya mencapai objektif.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata pemilik anjing serta penduduk di kawasan perumahan terbabit memberi kerjasama penuh kepada pegawai penguat kuasa veterinar, dan inisiatif sama diteruskan di Stapang serta Selangau.

"Setakat ini, lebih 5,000 ekor anjing sudah disuntik vaksin sejak kempen vaksin rabies dilancarkan di sini, bulan lalu.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua pemilik anjing di Sibu yang memberi sokongan terhadap kempen kami dengan menghantar anjing mereka untuk suntikan vaksin.

"Selain itu, pihak ditugaskan menangkap anjing liar juga tidak diganggu seperti yang berlaku di Kuching. Setakat ini, lebih 400 anjing liar berjaya ditangkap," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kempen sama dijalankan di Kuching, baru-baru ini, dikatakan terjejas berikutan ada segelintir masyarakat didakwa cuba menghalang tindakan pegawai penguat kuasa veterinar menangkap anjing liar.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, turut menasihati semua pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan mereka itu tidak merayau di luar pagar rumah.

"Walaupun anjing itu sudah divaksin, risiko tetap ada kerana mungkin ia akan berkelahi dengan anjing liar di luar," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan sampel yang diambil di sekitar Sibu.

"Proses mendapat keputusan ini mengambil masa antara 21 hari hingga sebulan, namun saya berharap tiada kes positif rabies di Sibu.

"Langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini melancarkan kempen vaksin percuma kini diikuti PBT di Miri dan Bintulu," katanya.

Mengenai stok vaksin pula, beliau berkata, Sarawak tidak menghadapi sebarang masalah bekalan kerana memang bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Berita Harian X