Sabtu, 10 Februari 2018 | 3:43pm
DATUK Ahmad Zaini Japar (berdiri belakang tujuh kanan) bersama Datuk Redza Rafiq (berdiri belakang lapan kanan) bergambar dengan murid dan penerima bantuan BARAKAH selepas menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid pada majlis Pelancaran Program Jelajah UtaraKu Blueprint 2.0 di Perkarangan RTC, Napoh.- Foto Sharul Hafiz Zam

DATUK Ahmad Zaini Japar (dua kanan) bersama Datuk Redza Rafiq (kanan) melawat pameran Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kedah selepas majlis Pelancaran Program Jelajah UtaraKu Blueprint 2.0 di Perkarangan RTC, Napoh.- Foto Sharul Hafiz Zam

NCER sedia 70,000 peluang kerja pada 2025

CHANGLUN: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memberi jaminan lebih 70,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan menerusi tiga projek utama di negeri ini menjelang 2025, sekali gus membuka peluang luas kepada generasi muda.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata tiga projek terbabit ialah Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap dan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) serta Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam yang berada dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Beliau berkata, semua inisiatif dalam Blueprint 2.0 sudah diolah dan diselaraskan supaya lebih bersesuaian dengan perubahan ekonomi terkini yang menumpu kepada pembangunan inklusif merangkumi kumpulan sasaran makro, mikro dan akar umbi.

"Semua yang dirancang memberi fokus kepada universiti awam dan institusi pengajian tinggi termasuk kolej komuniti dan lepasan sekolah supaya tenaga kerja yang ada dapat memenuhi keperluan serta kehendak tiga kawasan pembangunan terbabit.

"Langkah ini juga dilihat memberi jaminan peluang pekerjaan kepada golongan muda berkemahiran, sekali gus mereka tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain.

"Sektor ditawarkan adalah pembuatan elektrik dan elektronik serta mesin, pertanian moden dan industri bio, perkhidmatan serta logistik dan perhubungan yang membabitkan keseluruhan 80 projek dengan tujuh nod pertumbuhan, 28 projek merentasi sempadan dan 45 projek berimpak tinggi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Jelajah Utaraku : Blueprint 2.0 perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh di sini, hari ini.

Redza berkata, tiga projek ini memberi kesan positif kepada penduduk setempat apabila mampu menyumbang RM61 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

"Ia juga memberi impak pendapatan isi rumah sebanyak RM12,056 dan pendapatan isi rumah kepada golongan B40 sebanyak RM7,569 yang dilihat mampu menyemarakkan ekonomi sesebuah kawasan dan keluarga.

"Melihat perkembangan ini, sudah pasti generasi muda akan menerima kesan positif hingga membolehkan penawaran tenaga kerja dilakukan dan menjadikan pembangunan di wilayah ini terus berkembang," katanya.

Berita Harian X