Rabu, 7 Februari 2018 | 2:18pm
DATUK Yahya Hussin (dua dari kanan) ketika merasmikan Program Jimat Belanja Dapur X-Tra 2018 di Tapak Pasar Tani Asia City, Kota Kinabalu.- Foto Edmund Samunting
DATUK Yahya Hussin (dua dari kanan) ketika merasmikan Program Jimat Belanja Dapur X-Tra 2018 di Tapak Pasar Tani Asia City, Kota Kinabalu.- Foto Edmund Samunting
DATUK Yahya Hussin (tengah) ketika melawat gerai-gerai yang terdapat di Program Jimat Belanja Dapur X-Tra 2018 di Tapak Pasar Tani Asia City, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
DATUK Yahya Hussin (tengah) ketika melawat gerai-gerai yang terdapat di Program Jimat Belanja Dapur X-Tra 2018 di Tapak Pasar Tani Asia City, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

FAMA Sabah perluas Program Jimat Belanja Dapur

KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah akan memperluaskan Program Jimat Belanja Dapur di setiap daerah supaya lebih ramai penduduk berpeluang mendapatkan barang keperluan harian pada harga lebih rendah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata program itu akan diperluaskan ke 48 lokasi pasar tani di seluruh negeri membabitkan 1,300 peniaga.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, Pasar Tani Asia City ialah lokasi pertama penganjuran program itu sebelum diperluaskan secara berperingkat, termasuk ke tiga lokasi baharu di Pekan Lok Kawi, Tenom dan Putatan yang dijangka beroperasi menjelang pertengahan tahun ini.

"Program Jimat Belanja Dapur akan diadakan setiap minggu di lokasi berlainan dan ia membolehkan hasil jualan pasar tani meningkat kira-kira RM30 juta tahun ini berbanding RM24.78 juta tahun lalu.

"Program ini adalah langkah kerajaan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, selain mendidik rakyat berbelanja secara berhemat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Program Jimat Belanja Dapur Pasar Tani FAMA Sabah yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri, Ribin Wahid, dan Timbalannya, Mohd Shukri Majalin, di Pasar Tani Asia City di sini, pagi tadi.

Melalui program itu, Yahya berkata, pasar tani menawarkan penjimatan harga antara lima hingga 20 peratus bagi 27 komoditi terpilih mengikut keperluan setempat.

"Ia membabitkan hasil pertanian dan produk makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam segar, ikan dan produk proses Agromas," katanya.

Sempena program hari ini, FAMA menawarkan jualan 3,400 bungkus minyak masak satu kilogram bersubsidi pada harga RM2.40 setiap satu dan 500 ekor ayam super pada harga RM10 seekor.

Berita Harian X