Selasa, 6 Februari 2018 | 5:37pm
AIR sungai Sekamat yang melimpah ketika hujan lebat menyebabkan masalah banjir lumpur yang melanda hampir tiga ribu penduduk Kampung Sungai Sekamat sejak setahun lalu di Kajang. - Foto Aizuddin Saad
AIR sungai Sekamat yang melimpah ketika hujan lebat menyebabkan masalah banjir lumpur yang melanda hampir tiga ribu penduduk Kampung Sungai Sekamat sejak setahun lalu di Kajang. - Foto Aizuddin Saad

Pembetung haram punca banjir kilat

KUALA LUMPUR: Pembetung yang dibina secara haram untuk lima rumah penduduk di atas tanah milik persendirian sepanjang Sungai Sampo dikenal pasti punca utama banjir kilat di Semenyih, Selangor.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sepasukan pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang melakukan pemeriksaan mendapati pembetung dibina dari rumah penduduk ke sungai tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, pemasangan yang tidak bersistematik menyebabkan air sungai mengalir semula dan memasuki tanah serta kediaman hingga menyebabkan banjir.

"Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat menerusi peruntukan kerajaan negeri seperti didakwa.

"Sebaliknya pembinaan RTB Sungai Langat Fasa 1 yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) hanya meliputi kawasan Sepang, Dengkil serta Kuala Sungai Langat iaitu di hilir Lembangan Sungai Langat.

"Fasa kedua RTB yang hanya meliputi kawasan hulu Lembangan Sungai Langat akan dilaksanakan selepas fasa satu siap dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan lebih 3,000 penduduk di kawasan Sungai Sekamat, Sungai Balak dan Kajang-Semantan kecewa selain menanggung kerugian apabila banjir lumpur sering melanda kawasan berkenaan sejak setahun lalu.

Penduduk di situ juga mendakwa situasi itu berlaku disebabkan RTB Sungai Langat yang tidak selesai selepas dihentikan pada 2016.

Wan Junaidi berkata, JPS juga sudah melakukan pengorekan di Sungai Sampo sebanyak dua kali setahun bagi mematuhi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan sungai menjadi cetek.

"Bukan itu saja, faktor pembangunan pesat di kawasan Semenyih, Beranang dan sekitarnya juga menjadi penyumbang kepada banjir.

"JPS dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian akan mengeluarkan notis kepada penduduk berkenaan untuk menutup pembetung itu bagi mengelak air sungai masuk ke kawasan rumah penduduk," katanya.

Berita Harian X