Selasa, 6 Februari 2018 | 4:57pm
ROSNAH menyampaikan hadiah kepada Faridah dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Pantai Barat Selatan, di Dewan Masyarakat Taman Pantai Lok Kawi. - Foto Rafiqah Dahali
ROSNAH menyampaikan hadiah kepada Faridah dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Pantai Barat Selatan, di Dewan Masyarakat Taman Pantai Lok Kawi. - Foto Rafiqah Dahali

Minat mengaji al-Quran tak kira masa

PAPAR: Membahagikan masa antara kerja dan mengurus rumah tangga tidak menghalang Faridah Ag Tangah, bergiat aktif dalam tilawah al-Quran sama ada di peringkat daerah mahupun negeri.

Hasil semangat dan ketekunan, Faridah, 45, dinobatkan johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Pantai Barat Selatan 2018 mewakili Papar di Dewan Masyarakat Taman Lok Kawi, di sini, hari ini.

Ibu kepada lima anak yang bertugas sebagai pembantu tadbir Penjara Wanita Kota Kinabalu itu berkata, demi kecintaan terhadap al-Quran, beliau berusaha meluangkan masa membaca kitab suci itu serta taranumnya.

"Pada hari biasa, saya sering berulang-alik dari Kota Kinabalu ke rumah di Beringgis, Papar dan mengurus anak-anak membuatkan saya letih, tetapi tetap meluangkan masa membaca al-Quran.

"Kebiasaannya dalam tilawah al-Quran peringkat daerah dan bahagian, kami mula mencabut undi surah yang dibacakan berserta taranum wajib sehari sebelum hari pertandingan.

"Saya cuma ada tempoh sehari untuk berlatih surah yang terpilih berserta taranum wajib, jadi agak mencabar kerana hanya ada tempoh singkat untuk membuat persediaan," katanya kepada BH selepas diumumkan johan tilawah itu.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail; Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pegawai Daerah Papar, Adnan Atin.

Seramai 12 peserta terdiri daripada lapan qari dan empat qariah mewakili Papar, Tuaran, Kota Kinabalu dan Putatan menyertai tilawah itu.

Berita Harian X