Khamis, 1 Februari 2018 | 11:34am
MENTERI Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi (tiga dari kiri) bersama Rektor UiTM, Datuk Dr Jamil Hamalai (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Edutourism UiTM dan Produk Edutourism UiTM Cawangan Sarawak di Sebuyau. - Foto Norsyazwani Nasri
MENTERI Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi (tiga dari kiri) bersama Rektor UiTM, Datuk Dr Jamil Hamalai (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Edutourism UiTM dan Produk Edutourism UiTM Cawangan Sarawak di Sebuyau. - Foto Norsyazwani Nasri

Kesan berganda pembinaan Jambatan Batang Sadong

SEBUYAU: Pembinaan Jambatan Batang Sadong, jalan pesisir dan prasarana lain mula menunjukkan kesan berganda di Sebuyau, iaitu daripada bergantung terhadap industri pertanian kepada pembangunan kawasan berteraskan pelancongan.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, berkata Sebuyau berpotensi tinggi sebagai kawasan pembangunan baharu pelancongan dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta khusus bagi pembangunan chalet demi memastikan kelebihan prasarana dibina, dimanfaatkan sepenuhnya.

"Daerah kecil Sebuyau sebenarnya menawarkan pelbagai produk pelancongan seperti keindahan ekopelancongan dan keunikan budaya masyarakat Melayu, Cina dan Iban di kawasan pesisir. Keunikan cara hidup mampu menjadi produk pelancongan yang berkesan menarik pengunjung luar.

"Malah, kawasan ini tidak lagi terpencil dengan adanya pembangunan aktif prasarana walaupun berada berdekatan Bandaraya Kuching.

"Justeru, Sebuyau perlu dipromosikan, terutama bagi membawa masuk pelancong dari Semenanjung dan luar negara supaya tidak hanya melawat kawasan Kuching semata-mata," katanya selepas Majlis Pelancaran Edutourism Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Produk Edutourism UiTM Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) UiTM, Prof Dr Zaini Abdullah; dan Rektor UiTM Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, dengan adanya pembangunan chalet nanti, UiTM boleh membantu menjual pakej pelancongan edutourism kepada golongan pelajar dan ahli akademik di seluruh dunia.

"Saya berharap UiTM melalui jaringan mantapnya dapat membantu menarik pelancong luar, terutama dalam kalangan pelajar universiti luar negara," katanya.

Katanya, kesan berganda hasil pelaburan besar kerajaan membina Jambatan Batang Sadong bukan sahaja menyerlahkan potensi terpendam kawasan Sebuyau, malah menyumbang dalam bentuk perkongsian ilmu, budaya, bahasa dan inovasi melalui kehadiran pelajar luar negara.

"Kerjasama erat institusi pengajian tinggi (IPT) cukup penting kerana kepakaran mereka perlu diperluaskan ke kawasan persekitaran dan tidak hanya tertumpu pada soal akademik, sekali gus memberi nilai tambah kepada lebih banyak inovasi dibangun untuk ekonomi setempat," katanya.

Berita Harian X