Isnin, 29 Januari 2018 | 8:11pm
PENGARAH Jabatan Laut Malaysia negeri, Wan Endok Wan Salleh (tiga dari kiri) dan Mohd Zaki (tiga dari kanan) bergambar bersama pada Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori
PENGARAH Jabatan Laut Malaysia negeri, Wan Endok Wan Salleh (tiga dari kiri) dan Mohd Zaki (tiga dari kanan) bergambar bersama pada Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Empat kes rasuah disiasat 2 minggu pertama Januari

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu membuka empat kertas siasatan berkaitan kes rasuah dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Zaki Hasan, berkata tiga tangkapan dan tiga pertuduhan membabitkan kes itu sudah dibawa ke mahkamah, manakala satu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, SPRM tidak akan berkompromi dengan individu yang terbabit dengan gejala rasuah termasuk pegawai dan kakitangan agensi kerajaan yang sudah melafaz serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

"IBR bukanlah laluan untuk penjawat awam terlepas daripada dikenakan tindakan jika terbabit dengan gejala rasuah," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, seramai 50 pegawai dan kakitangan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur diketuai Timbalan Pengarahnya, Norazihan Mohd Daud melafaz dan menandatangani IBR. 

Mohd Zaki berkata, sebanyak 59 jabatan dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini sudah melafaz dan menandatangani IBR sejak Ogos lalu. 

Katanya, sebanyak 70 lagi jabatan dan agensi kerajaan negeri serta GLC di seluruh negeri ini akan melafaz dan menandatangani IBR sepanjang tahun ini. 

Mengenai keahlian Sahabat Gerakan Anti Revolusi Anti Rasuah (GERAH), Mohd Zaki berkata, sehingga kini, seramai 22,000 penjawat awam dan pegawai serta kakitangan GLC sudah menjadi ahli. 

Katanya, jumlah keahlian GERAH di seluruh negeri ini melebihi sasaran ditetapkan iaitu seramai 10,000.

"SPRM tetapkan hanya 10,000 ahli GERAH tahun lalu, tetapi jumlah itu melebihi sasaran apabila mencecah 12,000," katanya. 

Berita Harian X