Isnin, 29 Januari 2018 | 11:22am
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) memantau lokasi runtuhan di Jalan Puncak Borneo, Padawan. - Foto Mohd Latif Ahmad

Lokasi runtuhan Jalan Puncak Borneo kian membimbangkan

PADAWAN: Keadaan lokasi runtuhan di Jalan Puncak Borneo berhampiran Kampung Karu di sini, semakin membimbangkan sehingga berisiko untuk digunakan penduduk setempat.

Difahamkan, tiada sebarang usaha pembaikan dilakukan sejak kes runtuhan pertama berlaku, tiga tahun lalu, sehingga menjejaskan sebahagian besar laluan itu.

Tinjauan BH pagi tadi mendapati hampir separuh daripada laluan itu, membabitkan jarak hingga 30 meter, runtuh sejak malam kelmarin disebabkan hujan lebat.

Pegawai Tadbir Daerah Padawan, Rangen Jamang, berkata pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, sudah mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden runtuhan jalan itu pada 2015 untuk dibaik pulih.

"Laporan dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Residen dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), namun hingga hari ini masih tiada tindakan diambil.

"Kita dimaklumkan pihak yang berkenaan sedia maklum mengenai isu itu tetapi kerja baik pulih belum dapat dilaksanakan ketika ini disebabkan kekangan peruntukan," katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau berkata, JKR sudah membuat anggaran kos baik pulih laluan itu, namun peruntukan belum mencukupi.

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) memantau lokasi runtuhan di Jalan Puncak Borneo, Padawan. - Foto Mohd Latif Ahmad
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) memantau lokasi runtuhan di Jalan Puncak Borneo, Padawan. - Foto Mohd Latif Ahmad

"Kita tidak pasti berapa kos sebenar diperlukan tetapi difahamkan pihak berkaitan masih memohon peruntukan tambahan bagi tujuan itu," katanya.

Sementara itu, Dr Jerip yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak (Pengangkutan) ketika dihubungi berkata, kementeriannya sedang berusaha sebaik mungkin memastikan kerja baik pulih dilakukan selepas Tahun Baharu Cina.

"Kontraktor dilantik juga bersetuju memulakan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik dengan segera untuk memberi amaran kepada pengguna. Kerja fizikal akan bermula selepas cuti Tahun Baharu Cina," katanya.

Beliau turut mengesahkan penilaian tapak dan anggaran kos membaik pulih jalan itu sudah dibuat, namun terpaksa ditangguhkan kerana dana tidak mencukupi.

JPBN melaporkan berlaku runtuhan susulan kira-kira jam 8.45 malam kelmarin di lokasi runtuhan lama Jalan Puncak Borneo yang sudah dilitupi rumput dan semak.

Jurucakap Sekretariat JPBN, Mej Ismail Mahedin, berkata kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana lokasi runtuhan terletak berhampiran rumah penduduk, selain berisiko untuk digunakan.

Justeru, katanya, pihak berkuasa mengambil inisiatif meletakkan kon penghalang untuk memberi amaran kepada kenderaan atau pengguna agar berhati-hati dan berwaspada ketika melalui jalan berkenaan.

Berita Harian X