Khamis, 25 Januari 2018 | 2:48pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan melawat tapak pameran sempena Konvensyen Tenaga Boleh Diperbaharui anjuran SESB di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
TIMBALAN Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan melawat tapak pameran sempena Konvensyen Tenaga Boleh Diperbaharui anjuran SESB di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

SESB disaran majukan tenaga boleh diperbaharui

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh usaha Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) meningkatkan lagi sistem pembekalan elektrik di negeri ini bagi memacu pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata beliau yakin SESB berkeupayaan untuk menggalas tanggungjawab yang diharapkan termasuk mencari pendekatan holistik bagi meningkatkan lagi usaha memajukan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menampung kesan kekurangan bahan api fosil pada masa akan datang.

"Saya juga berharap SESB akan bersama-sama dengan pihak berkepentingan untuk mencari pendekatan holistik itu, termasuk memajukan tenaga boleh diperbaharui dan sumber tenaga alternatif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sempena Konvensyen Tenaga Boleh Diperbaharui anjuran SESB, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Tenaga, Teknologi HIjau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh dan Pengarah Urusan SESB, Abd Razak Sallim.

Musa berkata, pengurusan sumber tenaga juga perlu dipelbagaikan dengan mengambil kira sumber tenaga baharu dalam penjanaan elektrik, terutama dalam menghadapi cabaran kepupusan sumber tenaga seperti minyak, gas dan arang batu.

"Selain itu, masyarakat perlu dididik dan diberi kesedaran berhubung pentingnya penggunaan tenaga secara cekap dan optimum kerana ia dapat menyelamatkan alam sekitar dan menjimatkan kos.

"Ia juga adalah langkah terbaik bagi mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida selain menjimatkan bil penggunaannya," katanya.

Terdahulu, Maximus berkata, kerajaan telah memperkenalkan dasar serta melaksanakan langkah bagi menangani kebimbangan terhadap kekurangan bahan api fosil, seterusnya mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan cekap bahan api.

"SESB sendiri kini beri penekanan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan difahamkan setakat September 2017, kapasiti penggunaan tenaga berkenaan adalah 1.69 Megawatt (MW) di seluruh negeri membabitkan tenaga hidro, biomass, biogas, dan solar.

"Penggunaan tenaga boleh diperbaharui juga secara tidak langsung dapat menjamin kelestarian persekitaran yang sejahtera untuk generasi akan datang," katanya.

Berita Harian X