Selasa, 16 Januari 2018 | 6:32pm
KD Selangor dipindahkan ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dari Pangkalan TLDM Lumut. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
KD Selangor dipindahkan ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dari Pangkalan TLDM Lumut. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

KD Selangor dipindah ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu

LUMUT: Kapal Diraja (KD) Selangor yang sebelum ini ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini dipindahkan ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Panglima Armada Barat, Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli, berkata perkara itu dilakukan mengikut arahan perpindahan Skuadron Kapal Ronda Ke-17 yang dibuat berikutan 'Transformasi 15-5'.

Katanya, selain itu langkah yang dilaksanakan itu juga mewujudkan kesinambungan pemerintahan dua wilayah iaitu Armada Barat dan Armada Timur.

"Perpindahan skuadron ini ke Armada Timur adalah bagi menampung keperluan aset TLDM di sana yang diketahui umum mempunyai kawasan operasi yang luas dan mencabar.

"Penyerahan KD Selangor didahulukan dan akan diikuti KD Kelantan pada Mac ini kerana kapal itu masih menjalani jadual senggaraan dan pembaikan kecemasan di samping hasrat markas ini yang ingin kedua-dua kapal dihantar ke Armada Timur dalam keadaan baik iaitu kesiapsiagaan dalam kategori satu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Tali KD Selangor sempena Pelayaran dan Perpindahan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

MOHAMAD Roslan mengucapkan selamat jalan kepada pegawai dan anak kapal KD Selangor pada majlis pelepasan KD Selangor ke Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - Foto BERNAMA
MOHAMAD Roslan mengucapkan selamat jalan kepada pegawai dan anak kapal KD Selangor pada majlis pelepasan KD Selangor ke Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - Foto BERNAMA

Katanya, diharapkan dengan penyerahan dan kehadiran KD Selangor akan dapat membantu memperkasakan dan memantapkan tugas operasi yang dilaksanakan di bawah pemerintahan Markas Pemerintahan Armada Timur.

"Kehadiran KD Selangor juga dilihat akan mengubah imej dan memberi nafas baru kepada Armada Timur dalam misi memperkukuhkan pertahanan perairan negara," katanya.

Mohamad Roslan berkata, perpindahan itu tidak akan melunturkan semangat patriotik warga KD Selangor dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan menjaga perairan negara.

Majlis itu adalah simbolik pelayaran akhir KD Selangor di bawah pemerintahan Markas Pemerintahan Armada Barat dan secara rasminya diserahkan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Penyerahan KD Selangor juga membabitkan 64 keluarga yang turut sama menetap dan berpindah ke Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu.

PEGAWAI dan anggota KD Selangor, TLDM mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga mereka yang hadir pada majlis pelepasan KD Selangor ke Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - Foto BERNAMA
PEGAWAI dan anggota KD Selangor, TLDM mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga mereka yang hadir pada majlis pelepasan KD Selangor ke Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - Foto BERNAMA

INFO
KD Selangor

  • Ditauliahkan pada 28 Disember 2010 dan mula beroperasi di Lumut mulai 29 Disember 2010.
  • Keanggotaan terkini warga adalah seramai 92 orang.
  • Melaksanakan tugas dalam misi dan operasi di Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
  • Terbabit dalam Operasi Menyelamat insiden MH 370 pada tahun 2014.
  • Pembabitan dalam Op SEKAT 2015 iaitu menghalang kemasukan pelarian Rohingya ke perairan Malaysia.
  • Antara kejayaan dicapai ialah pemenang Piala Gonzales bagi tahun 2013 dan 2015, memperolehi penarafan lima bintang ketika Audit Pengurusan 2015, memenangi Piala Panglima Tentera Laut pada 2016 berikutan kejayaan jumlah hari pengoperasian tertinggi dan dinobatkan sebagai platform contoh bagi Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Damage Control (CBRNDC) bagi kapal-kapal TLDM yang berpangkalan di Armada Barat.
  • Terbabit dengan pelbagai eksesais antaranya Angkasa Samudera (ANGSA), Operation Sea Training (OSTEX), TAMING SARI dan PANGKOR WAR selain eskesais Bilateral dan Eksesais Multilateral.
  • KD Selangor juga pernah mencipta sejarah sebagai kapal pertama terbabit di dalam Trilateral Maritime Patrol (TMP) 2017 yang membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Berita Harian X