Ahad, 14 Januari 2018 | 4:03pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Majestic Johor perkukuh produk identiti negeri

ISKANDAR PUTERI: Penjenamaan semula Xplore Johor kepada Majestic Johor akan menjadi platform kepada pemain industri pelancongan bagi memperkenalkan pakej produk lebih dinamik, sekali gus meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pendekatan baharu menerusi pelbagai produk beridentitikan Johor itu ke arah merealisasikan Johor sebagai destinasi bernilai tinggi menjelang tahun 2023 berpandukan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor (2014-2023).

Katanya, Johor kini bukan hanya lagi sebagai lokasi transit (transit point) ke tempat lain atau 'Getaway to Malaysia', sebaliknya Johor kini cukup syarat bagi membangunkan pakej sistematik supaya pelancong akan memanjangkan tempoh penginapan mereka di negeri ini.

"Kerajaan negeri melihat sektor pelancongan kini lebih dinamik dan bergerak di landasan yang betul. Sebagai pemain industri, seharusnya mereka memanfaat peluang ini termasuk mewujudkan konsortium yang memfokuskan sasaran pasaran yang berbeza.

"Ini kerana pelancong sama ada domestik atau antarabangsa dari pasaran yang berbeza mempunyai permintaan yang berbeza termasuk dalam soal pemilihan destinasi, makanan dan keutamaan berbelanja, selain sudah pasti mekanisme perniagaan ini akan memberi impak yang positif kepada ekonomi negara.

"Terdapat 14 pintu masuk ke negara ini termasuk Kompleks Sultan Abu Bakar menjadi antara yang menerima jumlah pelawat atau pelancong yang tinggi, selain 267 ejen pelancongan, 1,088 pemandu pelancong, lebih 100 produk pelancongan bertaraf antarabangsa, 10 taman tema dan 15 hotel serta resort di lapan pulau di Johor.

"Kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan sudah melatih lebih 2,204 orang pada tahun lalu bagi menjalani kursus pelapis depan (frontliner) termasuk kursus bahasa, pemandu pelancong, pemeliharaan kepulauan Johor dan Taman Negara Johor dan Mindset Towards Tourism Industry," katanya di sini, hari ini.

Siew Kiong berkata, bagi tahun 2013 hingga 2016, Johor berada pada kedudukan pelaburan terbaik iaitu RM93 bilion terutama bagi sektor pembuatan, selain Iskandar Malaysia antara lima koridor ekonomi di Malaysia bagi 11 tahun (sejak penubuhan Iskandar Malaysia tahun 2006) mempunyai nilai terkumpul RM242.4 bilion dengan 710,000 peluang pekerjaan.

Katanya, perangkaan Tourism Malaysia juga memperlihatkan Johor berada pada kedudukan ketiga dalam menarik pelancong asing dengan jumlah 2.6 juta pelancong antarabangsa yang dicatatkan pada tahun 2016. Jumlah itu menunjukkan peningkatan 10 juta pelancong yang melawat Johor pada tahun 2016, berbanding 3.9 juta pelancong tahun 2012.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, mencapai 3 juta penumpang tahun lalu berbanding 1.99 juta penumpang pada tahun 2013. Johor dihubungkan dengan 11 bandar domestik di Malaysia dan lapan bandar raya antarabangsa seperti Bangkok, Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya, Guangzhou , Macau, Kolkata dan Seoul," katanya.

Berita Harian X