Khamis, 11 Januari 2018 | 12:11pm
SEBAHAGIAN daripada kemudahan elektrik yang dicuri orang ramai dirampas oleh Polis Bantuan SESCO - Foto ihsan SESCO.
SEBAHAGIAN daripada kemudahan elektrik yang dicuri orang ramai dirampas oleh Polis Bantuan SESCO - Foto ihsan SESCO.

Tembaga sasaran pencuri

KUCHING: Syarikat utiliti tenaga Sarawak, SESCO Berhad (SESCO) menanggung kerugian berjumlah RM6.7 juta dalam tempoh dua tahun lalu, akibat kecurian tembaga di pencawang tenaga elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Lau Kim Swee, berkata nilai kerugian yang ditanggung itu akibat 506 kes kecurian tembaga sejak 2015.

Beliau berkata, tahun lalu saja, SESCO kerugian RM3.1 juta apabila berlakunya 132 kes keccurian bahan berkenaan, manakala pada 2016, sebanyak 113 kes dicatatkan dengan kerugian berjumlah RM950,000.

"SESCO terpaksa membelanjakan lebih RM1 juta setahun untuk melaksanakan langkah perlu bagi menangani masalah kecurian tembaga itu. Keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami.

"Perbuatan mencuri tembaga itu bukan saja merosakkan harta benda awam, tetapi juga membahayakan pengguna, manakala pencuri pula membahayakan nyawa mereka sendiri untuk mendapatkan keuntungan yang cepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, SESCO berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya perbuatan itu yang bukan hanya menyalahi undang-undang tetapi boleh membawa maut.

Bagi membanteras perbuatan itu, Kim Swee berkata, pihaknya mengarahkan pasukan Polis Bantuan SESCO untuk melaksanakan rondaan lebih kerap, khususnya di pencawang yang terletak di kawasan terpencil.

"Hasilnya, hujung minggu lalu Polis Bantuan kami menggagalkan percubaan membabitkan lima suspek mencuri tembaga di sebuah pencawang di Demak Laut. Kawasan itu memang kerap berlaku kes kecurian tembaga.

"Dalam tempoh tiga bulan yang lalu, lebih 20 kes kecurian tembaga dilaporkan berlaku di pencawang di kawasan Demak Laut saja dan penahanan lima suspek itu adalah yang pertama tahun ini," katanya.

Selain itu, katanya, inisiatif lain yang diambil untuk menangani jenayah berbahaya itu termasuklah meningkatkan sistem kawalan keselamatan di pencawang dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta alat penggera.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menghubungi talian 1-300-88-3111 jika mereka menyedari perbuatan yang mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik di kawasan mereka.

Berita Harian X