Rabu, 10 Januari 2018 | 1:24pm
 KETUA Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Juanis Solidau (tengah berdiri barisan hadapan) bergambar beramai selepas Majlis Pelancaran The Inner Wheel Garden Plaque, di Menara Jam Atkinson, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan
KETUA Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Juanis Solidau (tengah berdiri barisan hadapan) bergambar beramai selepas Majlis Pelancaran The Inner Wheel Garden Plaque, di Menara Jam Atkinson, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

Inisiatif memperindah Taman Inner Wheel

KOTA KINABALU: Seramai 72 sukarelawan membabitkan ahli persatuan Kelab Inner Wheel Kota Kinabalu (IWCKK), kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Muzium Sabah berganding bahu memperindahkan Taman Inner Wheel di tengah bandar raya ini sebagai lokasi bersejarah.

Taman terletak di kawasan berbukit berhampiran Padang Merdeka, wujud sejak tahun 1961 dengan nama Ann's Garden sebelum ditukar kepada Taman inner Wheel pada 1970.

Ia antara lain menempatkan Menara Jam Atkinson yang dulunya berperanan sebagai panduan kepada kapal berlabuh di Jesselton (kini Kota Kinabalu), selain hiasan pokok bunga pelbagai jenis.

Presiden IWCKK, Cecilia Amit, berkata aktiviti memperindahkan kawasan berkenaan mengambil masa kurang sebulan untuk disiapkan yang antara lain diadakan sempena Hari Antarabangsa Inner Wheel.

Katanya, inisiatif seumpama itu penting bagi memastikan destinasi bersejarah khususnya sekitar bandar raya ini terus terpelihara, selain membantu kerajaan menarik lebih ramai pelancong tempatan serta luar negara memilih Kota Kinabalu sebagai lokasi percutian.

PENGUNJUNG, Syafura Anuar bergambar ditangga yang dihiasi lukisan mural yang dinamakan The Inner Wheel Garden Plaque, di Menara Jam Atkinson, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan
PENGUNJUNG, Syafura Anuar bergambar ditangga yang dihiasi lukisan mural yang dinamakan The Inner Wheel Garden Plaque, di Menara Jam Atkinson, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

"Taman ini memang sudah lama wujud, namun kita mengambil pendekatan untuk melakukan penambahbaikan dari segi penanaman pokok dan lukisan pada tangga taman supaya kelihatan lebih menarik.

"Selain itu, kita menggantikan plak di taman ini kerana plak sedia ada sudah lama hilang," katanya kepada media selepas Pelancaran Plaque Taman Inner Wheel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau; Pengarah Muzium Sabah, Mansur Assun dan Pengarah Arkib Sabah, Mohd Said Hinayat.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai menerusi teks ucapan dibacakan Joannes, berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha positif semua pihak yang mahu membantu meningkatkan jumlah pengunjung ke bandar raya ini.

"Melalui aktiviti ini juga, kita dapat terus mempromosikan bandar raya ini, sekali gus mendidik masyarakat mengenai sejarah yang ada di negeri ini.

"Saya turut berharap warga bandar raya mengekalkan kebersihan terutama di semua tempat tumpuan utama pelancong supaya dapat meneruskan usaha DBKK menjadikan bandar raya ini bebas sampah," katanya.

Berita Harian X