Ahad, 7 Januari 2018 | 6:23pm

Naik taraf lebuh raya siap lebih 70 peratus

PASIR GUDANG: Projek menaik taraf infrastruktur dan penambahan laluan Lebuh Raya Pasir Gudang kini sudah siap kira-kira 70 peratus.

Pembangunan fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad, berkata fasa pertama projek menaik taraf kepada enam lorong membabitkan jarak kira-kira lapan kilometer bermula susur keluar Kangkar Tebrau ke Plentong siap pada Mei 2016.

Katanya, projek bernilai RM164.3 juta itu membabitkan jarak kira-kira lapan kilometer bermula dari persimpangan Plentong sehingga ke persimpangan Seri Alam/Taman Rinting, dekat sini, dijangka siap dalam tempoh yang dijadualkan.

"Projek menaik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang Fasa 2A yang kini dalam proses pelaksanaan membabitkan naik taraf kepada enam lorong, pengalihan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pemasangan lampu jalan.

"Fasa kedua ini bermula pada Mac 2016 dan secara keseluruhan projek ini membabitkan empat fasa," katanya ketika ditemui pada lawatan kerja jalan di Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim.

Dalam pada itu, Normala berkata, pihaknya maklum dengan aduan orang ramai berhubung tiada kerja pembinaan yang dijalankan di tapak projek hampir dua minggu.

"Jabatan Kerja Raya sedang menyelesaikan beberapa isu utiliti di kawasan itu, dan diharap pihak berkaitan dapat selesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Kalau boleh awal, kita pun boleh selesaikan kerja menaik taraf ini lebih awal dari jadual yang ditetapkan dan mengurangkan kebimbangan pengguna jalan raya," katanya.

Pada lawatan itu, kerosakan jalan di Pasir Gudang dikenal pasti di lima tempat termasuk di Jalan Pekeliling Persimpangan Pelabuhan Johor, Pesisiran Tanjung Langsat dan Jalan Pesisir Pantai, Lebuh Raya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL).

Normala berkata, pihak berkaitan akan menjalankan kajian bagi menaik taraf jalan itu, sekali gus jangka hayat jalan dipanjangkan untuk keselesaan pengguna.

Berita Harian X