Sabtu, 16 Disember 2017 | 9:24am
DATUK Suraya Yaacob (empat dari kiri) bergambar bersama dengan penari dan barisan kepimpinan Aman Central selepas Majlis Pelancaran 'The Pink Christmas Wonderland 2017' di Aman Central. - Foto Noorazura Abdul Rahman
DATUK Suraya Yaacob (empat dari kiri) bergambar bersama dengan penari dan barisan kepimpinan Aman Central selepas Majlis Pelancaran 'The Pink Christmas Wonderland 2017' di Aman Central. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Aman Central sasar 14 juta pengunjung

ALOR SETAR: Pusat beli-belah Aman Central menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung kepada kira-kira 14 juta, termasuk dari Thailand, sepanjang tahun depan berikutan situasi ekonomi serantau yang bertambah baik.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Aman Central, Ken Chin, berkata pembukaan pasar raya bertaraf antarabangsa itu sejak Oktober 2015 berjaya menarik pelancong dari selatan Thailand yang sebelum ini sering menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat untuk membeli-belah.

"Setiap bulan, kami menerima sejuta pengunjung dan jumlah itu meningkat kepada 1.2 juta semasa musim perayaan.

"Kita menjangkakan jumlah pengunjung meningkat kepada 1.1 juta sebulan dan 1.4 juta pengunjung semasa musim perayaan, tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran 'The Pink Christmas Wonderland 2017' di Aman Central, malam tadi.

PENGURUS Kanan Pemasaran dan Komunikasi Aman Central, Ken Chin. - Foto Noorazura Abdul Rahman
PENGURUS Kanan Pemasaran dan Komunikasi Aman Central, Ken Chin. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Belleview merangkap pemilik Aman Central, Datuk Sonny Ho.

Chin berkata, industri pelancongan di Kedah turut akan berkembang seiring dengan peningkatan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah itu.

Katanya, kehadiran jumlah pelancong yang besar turut memberi kesan positif kepada peniaga kecil yang berniaga di sekitar pusat bandar.

"Saya yakin pusat beli-belah seperti ini mampu menjadi satu daya tarikan terbaharu kepada pelancong dari dalam, terutama dari Perlis dan selatan Kedah serta luar negara," katanya.

Untuk rekod, Aman Central mempunyai 300 lot kedai besar dan 60 lot kedai kecil.

Berita Harian X