Rabu, 13 Disember 2017 | 3:45pm
SULTAN Selangor Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah berkenaan menyampaikan watikah perlantikan kepada Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Setia Mohammad Khusrin Munawi sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) baru di Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor Bagi Sesi 2018-2020 di Balai Santapan DiRaja, Istana Alam Shah Klang. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Selangor Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah berkenaan menyampaikan watikah perlantikan kepada Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Setia Mohammad Khusrin Munawi sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) baru di Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor Bagi Sesi 2018-2020 di Balai Santapan DiRaja, Istana Alam Shah Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

Mohamed Khusrin dilantik Pengerusi MAIS baharu

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu.

Pelantikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2018 dan Mohamed Khusrin akan menggantikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang sudah tamat perkhidmatan sebagai pengerusi MAIS sejak 2005.

Majlis berkenaan disempurnakan dalam satu majlis istiadat pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS bagi sesi 2018-2020 dan Majlis Santapan Tengah hari bersama 423 imam masjid seluruh negeri yang diadakan di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda Sultan juga berkenan melantik tiga orang anggota MAIS yang baharu iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali dan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian.

Turut hadir memberikan sembah menghadap adalah anggota MAIS untuk sesi 2018-2020 iaitu Timbalan Pengerusi MAIS, Datuk Ramli Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Pelantikan berkenaan selaras dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Subseksyen 11 (1) dan (2) yang menyatakan bahawa Majlis perlu terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi serta enam anggota atas nama jawatan yang hendaklah terdiri daripada mereka yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti, Ketua Polis Negeri dan Pengarah JAIS.

Kesemua individu berkenaan perlu dilantik oleh baginda Sultan atas budi bicara baginda dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun sebagaimana yang ditentukan baginda.

Pada majlis berkenaan, Sultan Selangor juga berkenan menerima wakaf berjumlah RM5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk pembinaan Masjid Denai Alam dan pemberian tanah wakaf seluas empat hektar dengan nilai semasa RM74 juta khas untuk pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Selangor.

Berita Harian X