Rabu, 13 Disember 2017 | 3:17pm
BOMBA membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Tawadakan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi
BOMBA membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Tawadakan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

Mangsa banjir di Kota Belud meningkat

KOTA BELUD: Bilangan mangsa yang dipindahkan berikutan banjir yang melanda daerah ini sejak petang kelmarin meningkat kepada 1,845 setakat jam 1 tengah hari ini, berbanding 1,829 pada jam 1 pagi tadi.

Pegawai Daerah Kota Belud, Gari Itam, berkata ia membabitkan 758 keluarga di empat pusat pemindahan sementara.

"Sebanyak 26 kampung terjejas manakala mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2, Dewan Masyarakat Tun Said,

Sekolah Menengah (SM) Agama Tun Said dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud.

"Difahamkan, satu lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Kompleks Sukan Butong Kota Belud namun belum ada pemindahan setakat ini.

"Bilangan mangsa banjir paling ramai di SMK Taun Gusi 2 iaitu 659 orang daripada 268 keluarga," katanya ketika ditemui di Dewan SMK Taun Gusi 2 di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan banjir di Kota Belud, beliau berkata, keadaan semakin surut dan bertambah baik.

"Berbanding banjir Oktober lalu, banjir kali ini lebih mencabar dan sukar kerana keadaan air deras dan cepat naik.

"Ia menyukarkan kita memindahkan mangsa malam kelmarin," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, berkata seramai 200 pegawai dan anggota APM bertugas bagi membantu keadaan banjir di Kota Belud.

"Ini membabitkan anggota dari Kudat, Tuaran, Kota Marudu dan Kota Kinabalu selain Kota Belud.

"Selain membantu memindahkan mangsa, kita turut membantu di pusat pemindahan seperti pendaftaran dan mengedar makanan," katanya.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati beberapa kawasan rendah di daerah ini masih digenangi air termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kesapang yang ditenggelami.

Bagaimanapun, beberapa jalan yang tidak dapat dilalui sebelum ini seperti Jalan Kampung Linau, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Bobot, Jalan Kota Belud dan Jalan Siasai Tamu sudah dibuka kepada semua jenis kenderaan.

Berita Harian X