Rabu, 13 Disember 2017 | 2:34pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu di Istana Alam Shah, Klang, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu di Istana Alam Shah, Klang, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Bekas SUK dilantik pengerusi MAIS

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu.

Pelantikan berkuat kuasa 1 Januari 2018 bagi menggantikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang tamat perkhidmatan sebagai pengerusi MAIS sejak 2005.

Ia disempurnakan pada majlis istiadat pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS bagi sesi 2018-2020 dan majlis santapan tengah hari bersama 423 imam masjid seluruh negeri di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Sultan Selangor juga berkenan melantik tiga anggota MAIS yang baharu.

Mereka ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali dan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian.

Yang turut hadir memberikan sembah menghadap adalah anggota MAIS untuk sesi 2018-2020, iaitu Timbalan Pengerusinya, Datuk Ramli Mahmud; SUK Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Selain itu, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Noordin Sulaiman; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Pelantikan berkenaan selaras kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 mengikut Subseksyen 11 (1) dan (2).

Pada majlis berkenaan, Sultan Selangor juga berkenan menerima wakaf berjumlah RM5 juta daripada kerajaan negeri untuk pembinaan Masjid Denai Alam dan pemberian tanah wakaf seluas empat hektar dengan nilai semasa RM74 juta khas untuk pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Selangor.

Berita Harian X