Isnin, 11 Disember 2017 | 3:56pm
ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar (lima dari kanan) memakaikan baju kalis senjata kepada anggota AADK Kubang Pasu yang disumbangkan olehnya di Program Orientasi Bilangan 6/17 di Pejabat AADK Kubang Pasu, semalam. - Foto Zuliaty Zulkifli
ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar (lima dari kanan) memakaikan baju kalis senjata kepada anggota AADK Kubang Pasu yang disumbangkan olehnya di Program Orientasi Bilangan 6/17 di Pejabat AADK Kubang Pasu, semalam. - Foto Zuliaty Zulkifli

AADK Kubang Pasu dibekal jaket kalis senjata

JITRA: Keperluan tugas semakin mencabar di lapangan terutama risiko berdepan ancaman serangan senjata ketika serbuan, memaksa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bergerak selangkah ke hadapan dengan melengkapi penguat kuasa dengan kelengkapan jaket kalis senjata.

AADK Kubang Pasu mengorak langkah pertama ke arah itu apabila lapan jaket kalis senjata dibekalkan untuk kegunaan penguat kuasa di daerah berkenaan, hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar.

Difahamkan jaket berkenaan bukan sahaja mampu menahan peluru daripada senjata api, malah turut memberi perlindungan sekiranya diasak senjata tajam seperti pisau dan parang dan ia penting berikutan penagih ketika ini yang terbukti cenderung membawa pelbagai senjata ketika memasuki 'port' penagih.

Aminuddin ketika ditemui mengakui sedar mengenai risiko bahaya yang sering menunggu penguat kuasa AADK setiap kali turun padang menjalankan tugas serbuan, dengan keadaan masing-masing tanpa sebarang perlindungan seperti jaket kalis senjata.

"Saya merasakan terpanggil untuk membantu dengan menyediakan lapan jaket kalis senjata yang dilengkapi baton T sebagai alat perlindungan untuk membantu anggota penguat kuasa AADK sekiranya berdepan sebarang ancaman ketika bertugas.

"Setakat ini hanya lapan jaket kalis senjata disumbangkan dan kita akan tambah lagi bilangan itu sekiranya diperlukan memandangkan anggota penguat kuasa di daerah ini kerap melakukan serbuan berikutan kawasan liputan mereka berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan lapan jaket kalis senjata itu kepada AADK Kubang Pasu sempena Program Orientasi di Pejabat AADK Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias dan Pengerusi Membasmi Penyalahgunaan Dadah Daerah Kubang Pasu, Shuib Din.

Sementara itu, Mahadzir ketika ditemui berkata pihaknya menyambut baik langkah pemimpin setempat untuk membantu memantapkan AADK dalam memerangi dadah secara habis-habisan di peringkat daerah, dengan memberi sumbangan jaket kalis senjata untuk melindungi anggotanya ketika menjalankan operasi atau tugas.

"Sebelum ini anggota kami hanya berpakaian biasa ketika melakukan serbuan dan banyak risiko serta cabaran dihadapi terutama ketika berdepan penagih yang bertindak agresif atau menggunakan senjata.

"Kita berharap dengan penggunaan jaket senjata ini, ia dapat memudahkan anggota kami menjalankan tugas dan kita mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO), individu atau ADUN di daerah lain untuk memberi sumbangan kelengkapan sama bagi kegunaan AADK di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata setakat ini tangkapan penagih dadah di Kubang Pasu semakin meningkat dan kelengkapan jaket kalis senjata itu penting kerana lebih banyak operasi dijangka diadakan berikutan daerah itu berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand.

Berita Harian X