Ahad, 3 Disember 2017 | 4:11pm
KARTINA Hashim bersama suami, Abdul Aziz Embong dan anak mereka, Nur Azzah Abdul Aziz ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, Marang. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
KARTINA Hashim bersama suami, Abdul Aziz Embong dan anak mereka, Nur Azzah Abdul Aziz ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, Marang. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Banjir paling getir seorang isteri

MARANG: Banjir tahun ini paling getir dilalui seorang isteri kerana bukan sahaja rumah mereka dinaiki air, tetapi juga terpaksa bertungkus lumus seorang diri selepas suami dan anaknya terlantar sakit.

Kartina Hashim, 42, mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, di sini, berkata suaminya Abdul Aziz Embong, 51, sudah tiga bulan kehilangan kaki manakala anak yang terlantar akibat penyakit saraf, membuatkan dia tidak senang duduk apabila air naik.

"Sebelum ini saya tidak begitu risau kerana suami, Abdul Aziz Embong, 51, masih sihat dan dapat membantu membuat persiapan setiap kali banjir, sejak 19 tahun lalu termasuk menguruskan anak bongsu kami, Nur Azzah Abdul Aziz, 10 yang terlantar sejak kecil kerana masalah saraf.

"Melihatkan keadaan suami dan anak, saya nekad untuk berpindah lebih awal sebelum air banjir mula masuk ke dalam rumah sehingga 0.5 meter. 

"Keadaan tahun ini berbeza dan benar-benar membuatkan saya tidak mampu melelapkan mata memandang suami tidak sihat dan perlu menggunakan tongkat untuk berjalan," katanya.

Beliau berkata, ketika luar rumah mereka di Kampung Kelulut mula dinaiki air malam Jumaat lalu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang memberi bantuan dan mengangkat suami dan anak untuk ke pusat pemindahan ini

Kartina dan keluarganya ditempatkan di PPS itu bersama-sama 244 mangsa membabitkan 70 keluarga.

Sementara itu, di PPS sama, pertandingan membuat kek, pertandingan mewarna, sukaneka, teka teki, selain sesi kaunseling menceriakan kanak-kanak dan menghilangkan kebosanan 98 kanak-kanak mangsa banjir.

Acara berkenaan disediakan Unit Bahagian Kaunseling dan Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mangsa banjir, Nur Amalin Balqis Ahmad Fikri, 10, dari Kampung Lama Seberang Marang, berkata dia teruja dapat menyertai pertandingan mewarna bersama-sama rakan baharu.

Berita Harian X