Rabu, 29 November 2017 | 12:25pm
BANTENG Borneo adalah antara mamalia besar paling terancam di Sabah. - Foto ihsan DGFC
BANTENG Borneo adalah antara mamalia besar paling terancam di Sabah. - Foto ihsan DGFC
BANTENG Borneo sering terancam oleh pemburu haram di Sabah. - Foto ihsan DGFC
BANTENG Borneo sering terancam oleh pemburu haram di Sabah. - Foto ihsan DGFC

Usaha lindungi banteng Borneo dibincang pakar

KOTA KINABALU: Bab akhir projek penyelidikan pemuliharaan Yayasan Sime Darby (YSD) dengan Pusat Penyelidikan Danau Girang (DGFC) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bermula esok dalam bengkel dua hari yang dihadiri pakar berkaitan pemuliharaan banteng Borneo.

Saintis tempatan dan luar negara, agensi kerajaan serta pihak industri akan berkampung sehingga Jumaat ini bagi membincangkan spesies lembu liar endemik di Sabah itu, sebulan selepas cadangan bagi pemuliharaan dua spesies lain iaitu monyet Belanda dan harimau dahan Sunda.

Dalam bengkel itu, beberapa syor untuk melindungi mamalia itu akan dibincang berdasarkan hasil kajian lima tahun DGFC dan JHL, sebelum Pelan Tindakan Banteng Borneo digubal yang kemudian disahkan Kumpulan Pakar Lembu Asia, Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

Pengarah DGFC, Dr Benoit Goossens, berkata pihaknya berharap kerajaan negeri akan berpandukan kepada pelan itu dalam usaha menyelamatkan spesies yang diancam susulan pemburuan haram, kehilangan habitat, pembangunan jalan dan pemecahan hutan.

Katanya, tiga banteng diburu oleh pemburu di tiga kawasan perlindungan di negeri ini dalam tempoh tiga hari pada bulan lalu dan keadaan itu dibimbangi menyebabkan spesies itu tidak mampu bertahan dalam tempoh 20 tahun lagi, sekali gus menyebabkan kehilangan spesies seperti badak Sumatra.

BANTENG Borneo adalah antara mamalia besar paling terancam di Sabah. - Foto ihsan DGFC
BANTENG Borneo adalah antara mamalia besar paling terancam di Sabah. - Foto ihsan DGFC

"Dalam projek ini, DGFC dengan kerjasama JHL dan Jabatan Perhutanan Sabah melakukan tinjauan menggunakan perangkap kamera di beberapa kawasan terlindung serta tidak dan mendapati kita ada empat atau lima populasi banteng yang terpencil di pantai barat, tengah Sabah, selatan timur dan timur laut.

"Jumlah keseluruhan dianggar antara 400 hingga 500 ekor, menjadikan banteng Borneo sebagai mamalia besar paling terancam di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam, berkata pihaknya menunggu masa untuk mengemukakan tiga Pelan Tindakan Negeri kepada kerajaan Sabah berkaitan pemuliharaan monyet Belanda, harimau dahan sunda dan banteng Borneo yang dijangka siap awal tahun depan.

Katanya, sejak April 2011, YSD menyokong DGFC dengan memperuntukkan RM3.96 juta dalam tempoh enam tahun bagi melakukan penyelidikan mengenai tiga spesies itu.

"Kami bangga dapat menyokong penyelidikan penting terhadap tiga spesies ini dengan kerjasama DGFC, kerajaan negeri serta saintis antarabangsa dari seluruh dunia," katanya.

Berita Harian X