X
Selasa, 28 November 2017 | 7:10pm
NORSYUHADA Mohamad (kanan) ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kepah. - Foto Aslina Abu Bakar
NORSYUHADA Mohamad (kanan) ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kepah. - Foto Aslina Abu Bakar

Pesakit saraf akur berpindah

KUALA BERANG: Mangsa banjir yang dipindahkan di Terengganu meningkat kepada 1,856 orang membabitkan 686 keluarga, sehingga jam 6 petang tadi.

Mereka ditempatkan di 42 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Setiu,

Antaranya Norsyuhada Mohamad, 20, dari Kampung Kepah yang menghidap Myasthenia Gravis, mengakibatkan masalah saraf sejak tahun lalu.

Dia akur apabila diarahkan untuk berpindah ke PPS walaupun keadaan sesak dan sejuk selepas rumahnya dinaiki air pagi tadi.

"Setiap hari saya perlu makan 30 biji daripada lima jenis ubat berbeza bagi memastikan saya tidak diserang penyakit," katanya di PPS Kampung Kepah, di sini hari ini.

Katanya, walaupun keadaan di pusat pemindahan kurang selesa, tahap kesihatannya dipantau pegawai yang bertugas.

"Saya membawa bekalan ubat yang mencukupi sepanjang saya berada di pusat pemindahan ini," katanya.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, ketika banjir tahun lalu, dia terpaksa dikejarkan ke hospital kerana keadaan kesihatan yang buruk berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

"Penyakit saraf yang dialami menjadi semakin teruk terutama apabila saya kesejukan dan keletihan. Memandangkan cuaca kerap hujan selain pusat pemindahan yang menempatkan ramai mangsa, saya terpaksa bergantung penuh pada ubat kerana keadaan saya akan menjadi lemah.

"Pihak pengurusan pusat ini menyediakan tilam dan selimut kepada semua mangsa. Sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan kepada saya," katanya yang membuat rawatan Hospital Hulu Terengganu setiap dua bulan.

Sementara itu, ibunya, Indon Muda, 55, keadaan anaknya itu menjadi keutamaannya walaupun terpaksa berpindah.

"Saya tidak ada masalah untuk berpindah namun, kesihatan anak saya itu menjadi keutamaan dengan keadaannya yang masih belum pulih daripada penyakit itu. Bagaimanapun, kami berharap dia dapat bertahan walaupun keadaan tidak begitu selesa," katanya.

Berita Harian X