Isnin, 27 November 2017 | 11:38am
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor. Datuk Ir Hasni Mohammad. - Foto Zain Ahmed
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor. Datuk Ir Hasni Mohammad. - Foto Zain Ahmed

Atasi masalah pertindihan kuasa

ISKANDAR PUTERI: Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) berdepan masalah pertindihan kuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelak berlakunya pencemaran sungai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata pertindihan kuasa mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 adalah berkenaan jadual pelepasan dinyatakan terutama membabitkan kilang sawit dan getah.

Katanya, sehingga kini masih belum ada kes pencemaran yang didakwa di mahkamah mengikut Enakmen Air 1921 berikutan kesukaran melaksanakannya disebabkan bertindih dengan akta lain iaitu AKAS 1974 yang dilaksana Jabatan Alam Sekitar.

"Disebabkan masalah itu BAKAJ mengadakan bengkel dan mencapai satu kaedah terbaik iaitu dengan menjalankan kajian jumlah beban harian maksimum (TMDL).

"TMDL adalah kaedah terbaik yang akan menggunakan jadual lebih anjal mengikut kadar kemampuan sungai itu sendiri bagi mengatasi kelemahan Jadual Kadar Pelepasan seperti disediakan dalam AKAS 1974.

"Bagi menggunakan TMDL, ia memerlukan tempoh dua tahun kajian yang dibuat di Sungai Johor dan apabila ia diwarta akan membatasi apa-apa peruntukan di bawah AKAS 1974," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adham Baba (BN-Pasir Raja) berhubung kes pencemaran sungai pada Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-13, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Hasni berkata, bermula pada Oktober 2014, Enakmen Air 1921 dipinda bagi memberi kuasa kepada BAKAJ mengawal selia sumber air menerusi pungutan hasil lesen, caj mentah, kawalan pencemaran dan penguatkuasaan.

"BAKAJ juga mendapat peruntukan untuk memasang alat ujian air di beberapa kawasan strategik bagi mendapatkan bacaan perlanggaran (pencemaran) kualiti air bagi tempoh 24 jam bagi tujuan kawalan secara menyeluruh di Sungai Johor. 

"Alat dipasang ini bagi tujuan maklum balas pantas untuk BAKAJ bertindak sekiranya berlaku perlanggaran di masa akan datang selain dapat melaksanakan Seksyen 7A Enakmen Air 1921 dengan lebih berkesan," katanya.

Berita Harian X