Selasa, 21 November 2017 | 3:32pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, (tiga dari kiri) merasmikan Bengkel Memperkasakan Tanaman Harumanis Perlis 2017 sambil diiringgi Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, (dua dari kiri) di Dewan Seri Semarak, UiTM Arau. - Foto Azhar Ramli
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, (tiga dari kiri) merasmikan Bengkel Memperkasakan Tanaman Harumanis Perlis 2017 sambil diiringgi Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, (dua dari kiri) di Dewan Seri Semarak, UiTM Arau. - Foto Azhar Ramli

RM1 juta untuk kembangkan harumanis

KANGAR: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta khusus untuk perkembangan industri mempelam harumanis yang dianggap sebagai produk ikonik agro-pelancongan Perlis.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis bagi tujuan pengurusan harumanis meliputi pengurusan saliran air, pembelian jentera serta baja khas bagi membantu penghasilan buah berkualiti.

"Peruntukan disalurkan itu tidak terhad kepada RM1 juta sahaja, sebaliknya akan ditambah dari semasa ke semasa selepas perbincangan lanjut diadakan bersama kerajaan negeri.

"Kita juga sedia memberikan peruntukan tambahan lain seperti peruntukan untuk kajian harumanis," katanya selepas merasmikan Bengkel Memperkasakan Tanaman Harumanis di sini, hari ini.

Bengkel anjuran bersama Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) dihadiri 200 peserta terdiri daripada pengusaha dan peladang harumanis di Perlis, demi memantapkan pengeluaran mempelam itu pada musim 2018.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya melihat perkembangan harumanis di Perlis ketika ini adalah positif bagi pasaran luar negara seperti durian.

"Kita melihat pemasaran buah tempatan di luar negara adalah satu peluang yang begitu baik dan lihat sahaja apa yang berlaku di China apabila warganya begitu meminati buah durian dari Malaysia.

"Saya melihat harumanis juga berpotensi untuk diluaskan pasarannya hingga ke luar negara, bagaimanapun proses penghasilannya mestilah memenuhi kriteria dan kehendak pasaran pengguna dari luar negara," katanya.

Berita Harian X