Khamis, 2 November 2017 | 9:20am
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) diiringi Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail (kanan) selepas menandatangani plak perasmian sebagai simbolik merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Beca Pelancongan di Hotel Amari, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) diiringi Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail (kanan) selepas menandatangani plak perasmian sebagai simbolik merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Beca Pelancongan di Hotel Amari, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Khidmat beca tarikan baru Johor

JOHOR BAHRU: Tourism Johor terus merancakkan lagi pelancongan negeri ini dengan memperkenalkan perkhidmatan beca dalam bandar raya.

Inisiatif yang mendapat kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Johor itu menyediakan perkhidmatan 12 beca di laluan sepanjang 2.2 kilometer meliputi Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja dan Persiaran Muafakat Bangsa Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata inisiatif itu sejajar dengan hasrat memperkasa bandar raya Johor Bahru sebagai tumpuan pelancongan warisan dan destinasi bertemakan keluarga.

"Khidmat beca yang dikendalikan golongan muda daripada pelbagai kaum ini juga menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada mereka.

"Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pelancongan Domestik 2016, Johor berjaya menarik sejumlah 7.4 juta pelancong domestik, yang menjadikan ia negeri yang dapat menarik paling ramai pelancong tempatan di Malaysia.

"Ia bermakna, Johor negeri pilihan utama rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara. Atas sebab itulah, kita perlu sentiasa berusaha dalam meningkatkan daya saing sektor pelancongan kita di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian berucap menyempurnakan Majlis PraPelancaran Beca Pelancongan di Hotel Amari di sini, malam tadi. Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail.

Siew Kiong berkata, reka bentuk beca yang mempunyai unsur kuda kepang menonjolkan lagi ciri-ciri budaya Johor, selain jenis pengangkutan yang bersifat mesra alam menjadi nilai tambahan kepada pembangunan pelancongan bersejarah.

"Sektor pelancongan kini lebih menjurus kepada pengalaman yang diperolehi oleh pelancong kita. Dengan aktiviti menaiki beca, ia seumpama 'City Tour' yang bersifat lebih mesra pelancong, selain dapat merasai dan menikmati suasana sekitar bandar raya dengan lebih dekat," katanya.

Perkhidmatan itu beroperasi di Hotel Amari, di sini dari jam 5 petang hingga 9 malam setiap hari.

Kadar bayaran RM15 dikenakan bagi setiap pengguna yang membawa mereka mengunjungi ke tempat menarik antaranya Bukit Timbalan, muzium, dan rumah ibadat pelbagai kaum.

Berita Harian X