Ahad, 29 Oktober 2017 | 8:20pm
KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyerahkan sumbangan wang tunai dan katil khas kepada Saloma sambil disaksikan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Zaidi Japar (kiri) dan ibu Saloma, Poniah Kadiri (kanan). - Foto Mohd Farid Noh
KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyerahkan sumbangan wang tunai dan katil khas kepada Saloma sambil disaksikan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Zaidi Japar (kiri) dan ibu Saloma, Poniah Kadiri (kanan). - Foto Mohd Farid Noh

Derita Saloma belum berakhir

BATU PAHAT: Seorang remaja mangsa langgar lari di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) , berhampiran Pagoh, Muar, September lalu, kini hanya mampu terlantar di rumah, berikutan kecederaan parah dialaminya.

Nur Farah Afiqah, 19, penuntut tahun dua Diploma Perakaunan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) itu patah tengkuk dan rahang, retak tempurung kepala, mengalami gegaran otak selain melecur teruk di kaki akibat terhempap ekzos motosikal dalam masa yang lama ketika terbabit dalam kemalangan itu.

Nur Farah yang mesra dipanggil Saloma itu juga tidak dapat mengingati apa yang terjadi padanya ketika kemalangan berlaku.

Ibunya, Poniah Kadiri, 50, berkata keluarganya menerima berita anak ketiganya daripada enam beradik itu ditimpa kemalangan selepas orang awam meviralkan gambar kad pengenalan Saloma bagi mengesan mereka berikutan anaknya itu parah dan tidak sedarkan diri.

"Alhamdulillah, ada kenalan kami yang mengenali serta mengecam gambar Saloma yang diviralkan bertindak pantas menghubungi kami sekeluarga sebelum kami bergegas ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar bagi melihat.

"Akibat kemalangan itu, Farah koma selama seminggu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan mujur doktor mengatakan tiada pendarahan di kepala Farah namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 15 November depan.

"Saloma ketika itu tidak memaklumkan kami dia mahu pulang ke kampung di Senggarang menaiki motosikal berikutan cuti semester kerana selalunya dia menaiki bas namun ketika dalam perjalanan pulang dia dilanggar kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

"Akibat kemalangan itu, sudah hampir dua bulan Saloma hanya terlantar di rumah dengan kepalanya dipasang besi penstabil bagi menyokong tengkuknya yang patah malah lecuran luka di kakinya perlu dicuci setiap hari. Saloma juga masih belum boleh bercakap dengan lancar berikutan rahangnya patah," katanya.

Prihatin dengan nasib Saloma, UMNO Bahagian Batu Pahat membekalnya dengan katil khas yang berharga RM2,300 selain susu formula khas yang menjadi makanan utamanya kini.

Ketua Bahagiannya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa Saloma selepas mengetahui keadaanya sebelum memutuskan untuk membekalkan dengan katil khas selain sumbangan wang tunai.

"Usaha ini adalah hasil inisiatif Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat yang terus gigih meninjau di akar umbi bagi mengesan insan memerlukan untuk diberi bantuan," katanya.

Berita Harian X