Isnin, 23 Oktober 2017 | 3:32pm
TAN Sri Musa Aman (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Perasmian Hotel Mercure yang terletak di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
TAN Sri Musa Aman (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Perasmian Hotel Mercure yang terletak di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Hotel Mercure kedua dilancar

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini melancarkan hotel baharu bertaraf empat bintang, Hotel Mercure yang terletak di Jalan Gaya, dekat sini.

Hotel setinggi 25 tingkat milik kumpulan syarikat perhotelan AccorHotels itu yang kedua di bandar raya ini selepas sebuah lagi di Kompleks beli-belah 1Borneo, Jalan Sulaman.

Hotel Mercure menawarkan sebanyak 310 bilik kotemporari selain dilengkapi dengan restoran, bar, kolam renang di aras atas bumbung serta pusat kecergasan.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan kemasukan hotel terkenal ke Sabah sambil memberi jaminan keputusan pelabur menerusi pembinaan hotel di bandar raya ini amat tepat.

"Selain pembangunan infrastruktur yang disediakan kerajaan, kami memerlukan perkhidmatan pelengkap seperti hotel.

"Usaha kami untuk mempromosikan Sabah juga sangat bergantung melalui kerjasama kita dengan rakan kongsi yang tepat, iaitu dari sektor swasta sehinggalah persatuan pelancongan serta kumpulan antarabangsa yang relevan.

"Saya difahamkan bahawa di Hotel Mercure sahaja, ada 150 peluang pekerjaan diwujudkan dan ini menunjukkan sektor pelancongan di Sabah menjadi pemacu utama dalam ekonomi negeri yang semakin berkembang," katanya ketika merasmikan pembukaan hotel berkenaan.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Pembantu Menterinya, Datuk Pang Nyuk Ming dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia-Indonesia-Singapura AccorHotels, Garth Simmons.

Musa berkata, Sabah telah membuat keputusan tepat pada sedekad lalu apabila menjadikan pelancongan sebagai tumpuan dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri.

"Selepas bertahun-tahun, kita telah nampak hasilnya dan ia juga dibantu oleh kerajaan Pusat yang memberi perhatian kepada industri pelancongan seperti digariskan dalam Koridor Pembangunan Sabah serta Program Transformasi Ekonomi.

"Kita juga melihat peningkatan minat dalam kalangan syarikat penerbangan untuk menawarkan penerbangan terus dari destinasi serantau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, berikutan sokongan pasaran yang kukuh dan adanya perkhidmatan hotel berkualiti," katanya.

Musa berkata, sektor pelancongan akan terus menjadi sebahagian daripada pembangunan ekonomi Sabah kerana negeri ini memiliki pelbagai produk yang memenuhi keperluan pelancong

Antaranya, beliau berkata, destinasi alam semula jadi sehinggalah warisan budaya, kepelbagaian makanan dan pilihan membeli belah.

"Kerajaan juga mengambil langkah memastikan produk ekopelancongan kekal mapan dan terus menarik pelancong," katanya.

Berita Harian X