Jumaat, 20 Oktober 2017 | 4:44pm
ANGGOTA bomba bertungkus lumus mengalihkan pokok tumbang yang menutup beberapa jalan akibat ribut kencang dan hujan lebat di beberapa bahagian di Sarawak, terutama Kuching dan Miri. - Foto - Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba bertungkus lumus mengalihkan pokok tumbang yang menutup beberapa jalan akibat ribut kencang dan hujan lebat di beberapa bahagian di Sarawak, terutama Kuching dan Miri. - Foto - Ihsan Bomba
SEBUAH kereta dihempap pokok tumbang dalam ribut kencang di Kuching dan Miri. Foto - Ihsan Bomba
SEBUAH kereta dihempap pokok tumbang dalam ribut kencang di Kuching dan Miri. Foto - Ihsan Bomba

Kuching, Miri dilanda ribut

KUCHING: Beberapa kawasan di negeri ini, terutama di Bandaraya Kuching dan Miri dilanda ribut kencang yang disertai hujan lebat hari ini.

Kejadian bermula kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan pokok tumbang di beberapa tempat selain bumbung beberapa bangunan rosak ditiup angin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, difahamkan kawasan Santubong dekat Kuching menerima kesan paling teruk apabila banyak pokok tumbang dan menghalang lalu lintas, malah ada yang menghempap kenderaan.

"Anggota bomba sedang berada di lokasi di kawasan Santubong untuk membantu memotong pokok bagi membersihkan laluan trafik yang terhalang akibat kejadian ribut kuat tadi.

"Difahamkan ada mangsa cedera, namun belum diketahui keadaannya," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat kuning bagi Sabah dan Sarawak, hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu, hujan lebat dijangka berlaku di daerah Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau, Tambunan dan Kudat di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta Limbang di Sarawak dan berterusan hingga esok.

Selain itu, amaran ribut petir dan hujan lebat juga dikeluarkan yang dijangka berlaku di Miri, Bintulu, Mukah dan Dalat di Sarawak yang dijangka berterusan hingga lewat petang ini.

Berita Harian X