Khamis, 19 Oktober 2017 | 1:04pm
PENGERUSI penganjur, Doris Boo (tengah) bersama Pegawai Eksekutif Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Mastura Md Taher (tiga dari kiri) dan Ketua Jabatan Radiologi KPJ Puteri, Nasir Sumadi (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai program ketika sidang media Program Mamogram Kanser Payudara bersama Yayasan Bandaraya di BCSG JB Centre, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENGERUSI penganjur, Doris Boo (tengah) bersama Pegawai Eksekutif Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Mastura Md Taher (tiga dari kiri) dan Ketua Jabatan Radiologi KPJ Puteri, Nasir Sumadi (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai program ketika sidang media Program Mamogram Kanser Payudara bersama Yayasan Bandaraya di BCSG JB Centre, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pemeriksaan mamogram percuma

JOHOR BAHRU: Persatuan Sokongan Kanser Payudara (BCSG) dengan kerjasama Yayasan Bandaraya Johor Bahru menawarkan program pemeriksaan mamogram percuma kepada 300 wanita berisiko tinggi dan keluarga berpendapatan rendah.

Program berkenaan dilaksanakan menerusi Projek Mamogram Percuma tajaan Yayasan Bandaraya Johor Bahru, yang akan dilancarkan Sabtu ini, di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini.

Program itu dijadual dirasmikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad merangkap Pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru pada jam 10 pagi.

Penyelaras projek, Doris Boo, berkata projek itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutama wanita mengenai kanser payudara dan membuat ujian pengesanan awal bagi menyelamat nyawa.

Katanya, pemeriksaan mamogram percuma itu disasarkan kepada wanita berusia 40 tahun ke atas termasuk mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan pendapatan terendah 40 peratus (B40).

"Mereka perlu membawa kad pengenalan pada hari berkenaan bagi membolehkan pendaftaran dibuat, dan mereka yang layak akan dirujuk kepada Hospital KPJ Puteri untuk menjalankan ujian mammogram.

"Bagi wanita yang dikesan positif kanser, diharap dapat menjalani penyiasatan lanjut dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau hospital swasta, dan BCSG sedia memberikan bimbingan dan khidmat nasihat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Presiden BCSG, Jessie Lim; Pegawai Eksekutif Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Mastura Md Taher dan Ketua Bahagian Radiologi KPJ Puteri, Nasir Sumadi.

Boo yang juga bekas Presiden BCSG, berkata pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pameran dan ceramah kesedaran kanser payudara, pemeriksaan sendiri payudara (PSP), tanda awal kanser payudara, pemeriksaan kesihatan dan perundingan dengan pakar pemakanan.

Katanya, persatuan itu ditubuhkan bertujuan untuk membantu penghidap kanser payudara dari segi khidmat nasihat selain menganjurkan pelbagai aktiviti untuk ahlinya yang kini berjumlah lebih 300 orang.

Berita Harian X