Jumaat, 29 September 2017 | 5:00pm
KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Kinta memeriksa asrama pekerja di sebuah kilang di Taman Tasek Jaya, Tasek bagi mengesan jentik-jentik. - Foto Farah Suhaidah Othman
KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Kinta memeriksa asrama pekerja di sebuah kilang di Taman Tasek Jaya, Tasek bagi mengesan jentik-jentik. - Foto Farah Suhaidah Othman

10 kematian akibat denggi di Perak sejak Januari

IPOH: Sebanyak 10 kematian akibat denggi direkodkan di Perak sejak Januari ini sehingga Sabtu lalu berbanding sembilan kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata jumlah kumulatif kes denggi meningkat 67.4 peratus dalam tempoh Januari hingga 16 September lalu.

Katanya, bilangan kes dalam tempoh itu adalah 4,793 berbanding 2,863 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

"Daerah Kinta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu empat, dua kes masing-masing di daerah Kuala Kangsar serta Larut, Matang dan Selama manakala satu kes kematian lagi di Kampar," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga semalam, sebanyak lapan lokaliti aktif iaitu dua lokaliti aktif tidak terkawal dan enam lokaliti aktif terkawal dikesan di negeri berkenaan.

"Dua lokaliti aktif bagi wabak tidak terkawal dikesan di Taman Musim Bunga dan Taman Tasek Jaya di Tasek di sini," katanya.

Dr Mah berkata, empat lokaliti aktif bagi wabak terkawal di daerah Kinta pula adalah Taman Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Fair Park, Taman Klebang Jaya dan Kampung Sri Klebang manakala dua lagi Kampung Baru di daerah LMS dan Kampung Pinang Besar di daerah Manjung.

Sementara itu, hasil operasi dan pemeriksaan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diketuai oleh Ahli Majlis MBI, Aldrich Low, mendapati kawasan asrama pekerja warga asing di beberapa kilang di sini dipenuhi dengan longgokan sampah.

Low berkata, sebanyak 19 kes denggi dikesan di kawasan Tasek termasuk di Taman Tasek Jaya dan Taman Musim Bunga.

Katanya, daripada jumlah itu, 12 kes membabitkan warga asing dan beliau difahamkan banyak kilang dan asrama pekerja asing di sekitar kawasan berkenaan.

"Hasil tinjauan hari ini mendapati kebersihan dan kesihatan di asrama kurang memuaskan dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta mengeluarkan tiga notis kepada kilang berkenaan.

"Pihak pengurusan kilang dan pekerja warga asing perlu ambil tindakan (pembersihan) dalam tempoh 14 hari selepas notis dikeluarkan," katanya.

Berita Harian X