Sabtu, 9 September 2017 | 3:10pm
NAIB Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif (empat dari kanan) bersama Pengarah Pejabat Waqaf dan Infaq UniSZA, Dr Ahmad Azrin Adnan (kanan sekali) menyampaikan biasiswa wakaf kepada penuntut cemerlang UniSZA, Muhammad Danial Zainuddin, 22 (tiga dari kiri). - Foto Aslina Abu Bakar
NAIB Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif (empat dari kanan) bersama Pengarah Pejabat Waqaf dan Infaq UniSZA, Dr Ahmad Azrin Adnan (kanan sekali) menyampaikan biasiswa wakaf kepada penuntut cemerlang UniSZA, Muhammad Danial Zainuddin, 22 (tiga dari kiri). - Foto Aslina Abu Bakar

UniSZA salur biasiswa wakaf

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) buat kali pertama menyalurkan biasiswa wakaf kepada tiga penuntut, selepas mekanisme wakaf diperkenalkan di universiti itu tahun lalu.

Pengarah Pejabat Waqaf dan Infaq UniSZA, Dr Ahmad Azrin Adnan, berkata selain elaun sara diri sebanyak RM600 sebulan, biasiswa itu turut merangkumi pembiayaan yuran pengajian dan yuran asrama.

"Biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar kurang berkemampuan yang mencatatkan pencapaian akademik cemerlang.

"Biasiswa ini juga hasil yang dijana daripada keuntungan jumlah pokok yang dilaburkan dalam sistem wakaf di UniSZA," katanya selepas majlis penyampaian biasiswa wakaf itu oleh Naib Canselor UniSZA, Datuk Prof Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif di UniSZA, hari ini.

Beliau berkata, UniSZA melalui Pejabat Wakaf dan Infaq merancang pelbagai inisiatif untuk memartabatkan pelaksanaan wakaf di universiti itu sejak diberi kelulusan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk pelaksanaan sistem wakaf secara bersama di UniSZA pada Oktober tahun lalu.

"Biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar tertakluk kepada hasil siasatan terperinci. Buat permulaan, kemudahan biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar UniSZA daripada keluarga kurang berkemampuan yang sedang mengikuti program pengajian di peringkat prasiswazah.

"Malah, UniSZA juga sudah memperkenalkan dana wakaf ilmu, dana wakaf rumah rehat dan dana wakaf kompleks Islam bertujuan membiayai aktiviti berteraskan pendidikan," katanya.

Sementara itu, ibu seorang penuntut autisme, Rozainah Mohd Ikram, 53, berkata beliau bersyukur apabila anaknya, Muhammad Danial Zainuddin, 22, menjadi antara tiga penuntut terpilih menerima biasiswa wakaf itu.

"Saya lega kerana bantuan ini dapat meringankan beban saya sebagai ibu tunggal untuk menyara anak belajar di sini.

"Sejak kematian suami tahun lalu, saya bekerja sebagai pengasuh dan pendapatan RM400 sebulan tidak cukup untuk membiayai kos pendidikan anak saya yang mengambil kursus Diploma Bahasa Arab," katanya.

 

Berita Harian X