Isnin, 4 September 2017 | 1:50pm
BANJIR di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson semalam berpunca daripada hujan lebat berlarutan yang berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.- Foto Mohd Khidir Zakaria
BANJIR di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson semalam berpunca daripada hujan lebat berlarutan yang berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.- Foto Mohd Khidir Zakaria

PD banjir sebab air pasang besar

PORT DICKSON: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah ini terutama di Bagan Pinang kelmarin, berpunca daripada hujan lebat berlarutan yang berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar, berkata fenomena air pasang besar menyebabkan paras laut meningkat, sekali gus menjejaskan aliran air daripada sistem perparitan.

"Air dari longkang dan sungai sepatutnya mengalir terus ke laut, tetapi ketika air pasang besar berlaku, aliran air tidak berlaku seperti biasa, sebaliknya melimpah ke kawasan rendah di daratan kerana paras laut tinggi.

"Banjir kilat itu bukan disebabkan longkang tersumbat. Sebenarnya, banyak longkang sudah diperbesarkan, namun air tetap melimpah apabila hujan lebat berlarutan berlaku serentak dengan air pasang besar," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, berkata pihaknya bersama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) serta Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, sedang merangka rancangan jangka panjang bagi mengelakkan keadaan itu berterusan.

Semalam, BH melaporkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat, malah lebih 20 rumah di Kampung Bagan Pinang dinaiki air mencecah kedalaman 0.5 meter apabila hujan lebat berterusan kira-kira tiga jam bermula jam 12 tengah hari.

Tinjauan BH mendapati antara kawasan terjejas ialah Kampung SiRusa Dalam, pekan Port Dickson, Jalan Utama Sunggala Gate, Batu 8 Teluk Kemang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Port Dickson, Syed Shukri Nizam Jaafar, berkata sekolah itu kerap dilanda banjir kilat menyebabkan banyak barangan terutama kerusi dan meja rosak.

"Keadaan ini menjejaskan tumpuan guru dan murid, lebih-lebih lagi dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan penting tidak lama lagi," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X