X
Jumaat, 25 Ogos 2017 | 6:02pm
IRENE Tan (dua dari kiri) bersama Johnson Low (kanan), Hafiz Bahari (kiri) dan Subashini Ravichandren pelancaran My Pets Carnival 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim
IRENE Tan (dua dari kiri) bersama Johnson Low (kanan), Hafiz Bahari (kiri) dan Subashini Ravichandren pelancaran My Pets Carnival 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Luncur air untuk haiwan kesayangan tarikan 'My Pets Carnival'

PETALING JAYA: Pemilik haiwan berpeluang membawa haiwan kesayangan bermain luncur air sempena program 'My Pets Carnival 2017' di pusat beli-belah One Utama di sini, hujung bulan ini.

Karnival berkenaan antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menyayangi dan menjaga kebajikan haiwan.

Penganjur My Pets Carnival 2017, Irene Tan, berkata program selama tiga hari dari 29 September hingga 1 Oktober ini menyasarkan kunjungan 30,000 pengunjung terutama pemilik haiwan kesayangan.

Katanya, bagi menjaga sensitiviti agama, acara luncur air untuk kucing dan anjing diasingkan jauh dari satu sama lain.

"Oleh kerana banyak aktiviti terbuka seperti acara air, kami menasihatkan pemilik haiwan memastikan haiwan peliharaan mereka bebas penyakit berjangkit dan virus seperti rabies.

"Bagi memastikan kelancaran program, kami turut menyediakan khidmat veterinar sepanjang karnival berlangsung," katanya selepas pelancaran karnival berkenaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, tiga selebriti duta karnival berkenaan, iaitu Hafiz Bahari, Johnson Low dan Subashini Ravinchandren.

Irene berkata, pelbagai acara menarik disediakan seperti gerai dandanan haiwan, perbarisan haiwan, gerai lukisan muka serta gerai makanan yang sesuai dengan semua peringkat umur pengunjung.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 010-8997106 atau www.MyPetsCarnival.com.

Berita Harian X