Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:30pm
DATUK Amar Abang Johari Abang Openg (dua dari kanan) melihat pokok kelampayan yang ditanam di ladang kelapa sawit.- Foto NSTP
DATUK Amar Abang Johari Abang Openg (dua dari kanan) melihat pokok kelampayan yang ditanam di ladang kelapa sawit.- Foto NSTP

Sarawak tanam 'kelampayan' ganti balak dari hutan

SIBU: Sarawak mengambil pendekatan menanam pokok balak spesies kelampayan di jalan ladang sawit untuk mengurangkan kebergantungan kepada kayu balak dari hutan.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata pendekatan baharu itu sudah terbukti kerana penyelidikan yang dijalankan mendapati pokok berkenaan mampu hidup di tepi jalan ladang.

"Secara saintifik, tanah di tepi jalan ladang lebih padat berbanding tanah gambut di dalam ladang. Ia membolehkan akar pokok lebih kukuh, sekali gus menyokong pembesaran pantas pokok berkenaan.

"Pokok kelampayan mampu membesar sehingga mencapai diameter 35 sentimeter dalam tempoh tiga tahun dan 60 sentimeter dalam lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak penyelidikan dan pembangunan Kumpulan Syarikat Ta Ann di estet Naman, Durin di sini, petang tadi.

Tapak projek itu adalah percubaan konsep penanaman campuran kelapa sawit dan pokok kelampayan.

"Saya harus memuji syarikat ini (Ta Ann) kerana penyelidikan yang dijalankan dan saya berharap syarikat lain dapat melakukan perkara sama.

"Masa depan industri perkayuan adalah berdasarkan metodologi baharu seperti ini," katanya.

Berita Harian X