Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:24am
SEBAHAGIAN penari Siam menari kebudayaan etnik mereka sempena Festival Citrawarna Siam negeri Kelantan di Wat Sukhontharam di Kampung Kubang Panjang, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penari Siam menari kebudayaan etnik mereka sempena Festival Citrawarna Siam negeri Kelantan di Wat Sukhontharam di Kampung Kubang Panjang, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Etnik Siam turut sumbang dalam sektor pelancongan

TUMPAT: Masyarakat Siam turut menyumbang kepada sektor pelancongan walaupun etnik terbabit adalah minoriti di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata kebudayaan etnik itu tetap penting bagi mewakili masyarakat majmuk di negara ini.

"Sektor pelancongan adalah sektor yang lumayan dan kepelbagaian elemen boleh dirangkumkan termasuk budaya etnik minoriti masyarakat Siam.

"Apabila bergelar kaum minoriti, jangan kita anggap tidak penting kerana keunikan budaya mereka boleh dipamerkan di mata umum," katanya ketika ditemui di Wat Sukhontharam, Kampung Kubang Panjang di sini, sebentar tadi.

Beliau hadir sempena Festival Citrawarna Siam negeri Kelantan yang diadakan setiap tahun, anjuran Persatuan Wanita Siam negeri Kelantan.

Beliau berkata, penganjuran festival seumpama itu adalah salah satu faktor tarikan pelancong untuk datang ke negara ini, khususnya Kelantan, di samping dapat menjana ekonomi penduduk setempat.

Katanya, sepanjang tahun ini, seramai 31.8 juta pengunjung dijangka memasuki Malaysia dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM118 bilion.

Seramai 2,000 pengunjung hadir sempena Festival Citrawarna itu termasuk masyarakat Siam dari Selatan Thailand, Sungai Golok dan Narathiwat.

Turut hadir adalah Pengarah Pelancongan Negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Berita Harian X