Selasa, 1 Ogos 2017 | 1:09pm
SULTAN Sharafuddin berkenan menandatangani plak perasmian di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin berkenan menandatangani plak perasmian di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin melawat ruang Dataran Bisnes PKNS selepas Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin melawat ruang Dataran Bisnes PKNS selepas Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. - Foto Roslin Mat Tahir

PKNS perlu bina rumah mampu milik - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus membina rumah mampu milik, terutama untuk golongan berpendapatan rendah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, PKNS adalah satu-satunya badan pembangunan negeri untuk orang Melayu berpendapatan rendah.

Baginda bertitah, PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 oleh Menteri Besar Selangor kelapan, Allahyarham Datuk Harun Idris, bertujuan membantu masyarakat Melayu mendapatkan rumah dan tanah bagi kediaman di negeri itu.

"Orang Melayu ketika itu tidak mempunyai rumah atau tanah. Mereka tinggal di rumah setinggan yang tidak dibina dengan elok, tidak selamat diduduki serta tidak terurus dan tidak teratur.

"PKNS telah membina rumah kos rendah, memberi lot tapak rumah kepada yang layak dan membuka perkampungan baharu yang tersusun.

"PKNS juga menguruskan pinjaman dengan cara ansuran yang rendah dan berpatutan," titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian ketika merasmikan bangunan Ibu Pejabat PKNS, di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda turut diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahya.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah berdukacita kerana generasi baharu PKNS sudah lupa terhadap tujuan penubuhan PKNS.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah percaya, pengurusan PKNS kini akan kembali ke matlamat asalnya, selain mahu Ahli Lembaga Pengarah PKNS tidak dianggotai ahli politik semata-mata.

"Ahli Lembaga Pengarah PKNS harus seimbang dan dilantik juga dalam kalangan profesional supaya boleh memberi pandangan, buah fikiran, nasihat dan tunjuk ajar dalam sektor pembangunan dan hartanah," titah baginda.

Bangunan Ibu Pejabat PKNS yang baharu terletak berdekatan Taman Tasik Shah Alam berkeluasan 1.8 hektar dan bercirikan pejabat pintar.

Ia yang menjadi mercu tanda baharu mempunyai empat blok, turut dilengkapi auditorium, dewan serba guna, gimnasium, perpustakaan, kafeteria dan Taska Mutiara PKNS.

Berita Harian X