Ahad, 5 Mei 2024 | 8:09am
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari (kiri) berkata semua pihak sebaliknya perlu membiarkan siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa, sebelum sebarang perbincangan mengenai kedudukan Mohd Shukri dibuat. - Foto NSTP
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari (kiri) berkata semua pihak sebaliknya perlu membiarkan siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa, sebelum sebarang perbincangan mengenai kedudukan Mohd Shukri dibuat. - Foto NSTP

PAS tak bincang kedudukan MB Perlis

KUALA KUBU BHARU: PAS menegaskan masih terlalu awal untuk membincangkan isu pertukaran kepimpinan kerajaan Perlis, biarpun Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata semua pihak sebaliknya perlu membiarkan siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa, sebelum sebarang perbincangan mengenai kedudukan Mohd Shukri dibuat.

"Saya rasa masih terlalu awal untuk membincangkan soal perubahan (kepimpinan) kerajaan Perlis. Ini zaman (kerajaan) Madani, ketika era ini ada yang dipanggil membela diri pun dapat DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) dan sebagainya.

"Kalau mahu bincangkan pertukaran (kepimpinan) kerajaan Perlis ini masih terlalu awal, kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan," kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu ketika ditemui selepas Ceramah Umum PN di sini, malam tadi.

Khamis lalu, BERSATU Perlis dilapor sedia menggalas tanggungjawab menerajui pentadbiran negeri itu, jika wakil parti berkenaan diminta berbuat demikian dengan sebarang keputusan mengenai kedudukan Mohd Shukri tetap terletak kepada kebijaksanaan Raja Perlis dan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

BH Rabu lalu, melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Shukri memberi keterangan selama lapan jam mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan salah guna kuasa.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis merangkap Pengerusi PN Perlis dipanggil memberi keterangan membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana, termasuk membaik pulih, menyenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Media sebelum ini, melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis itu antara enam individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan bernilai RM600,000.

Abu Bakar buat kenyataan peribadi

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kenyataan Abu Bakar Hamzah berhubung kesediaan parti berkenaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PAS sebagai pandangan peribadi Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis itu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah. - NSTP/Aizat Sharif
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah. - NSTP/Aizat Sharif

Sebaliknya, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor berkata tiada perbincangan mengenai isu perubahan kepimpinan di Perlis dibuat gabungan berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, setiap perkara berlaku dalam PN dibincangkan bersama semua parti komponen dan dimuafakati atas prinsip kebersamaan.

"Tiada amalan 'Big Brother' (Abang Besar) dalam PN, semua parti (komponen) adalah sama dan mempunyai hak untuk berbincang. (Jadi) itu adalah PN, bukan soal pandangan individu.

"Saya tidak mahu komen pandangan individu kerana prinsip kita pegang, ia mestilah dibawa dalam PN di peringkat negeri atau Pusat.

"Memang tidak ada dibincangkan, tiada sebab, (malah) tak timbul soal perubahan kerajaan negeri di Perlis," kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor itu.

Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali (kanan) dan Fadhli Shaari (kiri) pada Ceramah Umum Perikatan Nasional di Dewan Jalan 1, Taman Ampang Pecah sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu malam tadi. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali (kanan) dan Fadhli Shaari (kiri) pada Ceramah Umum Perikatan Nasional di Dewan Jalan 1, Taman Ampang Pecah sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu malam tadi. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Berita Harian X