Jumaat, 26 April 2024 | 12:03pm
Calon DAP PRK Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Calon DAP PRK Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

PRK KKB: Calon bukan Melayu tetap berisiko, tapi PH ada sokongan pengundi tradisi - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Langkah DAP menamakan calon Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sudah dijangka walaupun pengundi tempatan mahukan calon Melayu menjadi wakil Pakatan Harapan (PH).

Bagi kalangan penganalisis dan pemerhati politik, mereka melihat tindakan DAP itu sebagai meneruskan legasi kerana DUN itu sememangnya kerusi tradisi mereka yang sebelum ini sememangnya diwakili calon bukan Melayu.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaei Hamil berkata perlu difahami walaupun ada sentimen yang mahukan calon Melayu, kerusi berkenaan sememangnya diperuntukkan wakil bukan Melayu sesuai dengan pengagihan kerusi Cina atas dasar komposisi keseluruhan negeri Selangor.

"Pernah dilakukan di PRK Teluk Intan yang mana calon Melayu (Deanna Sofia) dinamakan atas sentimen ada sokongan kuat parti komponen yang lain dalam Pakatan Rakyat (PR) ketika itu iaitu PAS, atas dasar menghormati rakan sekutu, akhirnya DAP kalah kesan boikot DAP tempatan yang menolak calon itu.

"Kadang kala percaturan DAP tepat seperti kejayaan meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu di Bentong dan Bukit Bendera membuahkan hasil walaupun kerusi itu jelas majoriti pengundinya Cina," katanya.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon PN DUN KKB, Khairul Azhari Saut (kanan) pada pengumuman calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) oleh Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon PN DUN KKB, Khairul Azhari Saut (kanan) pada pengumuman calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) oleh Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Beliau mengulas langkah DAP menamakan Pang Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Sebelum itu dilaporkan DAP mahu meletakkan calon Melayu, Saripah Bakar selepas mendapat sokongan akar umbi dan penduduk di Kuala Kubu Bharu.

Jamaei berkata, tindakan DAP itu tetap berisiko dan tidak menolak kemungkinan akan ada calon Bebas yang menawarkan diri sebagai tanda protes.

Ia suatu yang biasa dalam mana-mana pilihan raya apabila muncul calon protes ini dan kumpulan yang tidak berpuashati atau mereka yang kecewa.

Namun, katanya kehadiran calon Bebas ini tidak beri kesan yang besar terhadap undi jika jentera kempen bijak menangani kumpulan berkenaan.

"Saya melihat peluang PH cerah dengan kerjasama parti itu terhadap parti dalam Kerajaan Perpaduan yang lain seperti yang berlaku di PRK Pelangai.

"Saya nampak ketika ini, dari segi pengundi PH akan terus kekal bersama PH. Jika ada protes dalam kalangan pengundi Melayu jumlahnya tidak besar dan membabitkan kumpulan kurang berpuashati dalam isu calon, isu harga barang dan kenaikan cukai tertentu baru-baru ini.

"Justeru, jentera kempen PH perlu menangani isu ini dengan berkesan serta menarik pengundi atas pagar yang juga terkesan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini," katanya.

Mengenai undi untuk Perikatan Nasional (PN), katanya diakui mereka ada pengundi terutama dalam kalangan orang muda, namun belum cukup untuk memenangkan mereka.

"Namun, semuanya bergantung bagaimana PN mampu memainkan isu rakyat seperti harga barang dan kos sara hidup bagi menarik pengundi atas pagar dan undi bukan Melayu," katanya.

Berita Harian X