Jumaat, 26 April 2024 | 10:00am
Tinjauan sekitar bandar Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang bakal berlangsung pada 11 Mei depan. Esok adalah hari penamaan calon. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Tinjauan sekitar bandar Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang bakal berlangsung pada 11 Mei depan. Esok adalah hari penamaan calon. - Foto NSTP/Faiz Anuar

PRK DUN Kuala Kubu Bharu: Calon Bebas mungkin bertanding tanda protes

KUALA LUMPUR: Pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mungkin tidak akan menjadi kenyataan dengan kehadiran calon Bebas yang bertanding sebagai tanda protes kepada parti mereka.

Perkara itu menurut penganalisis suatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana PRK, lebih-lebih lagi perubahan situasi semasa bagi kawasan mengundi kesan persempadanan semula pilihan raya pada 2018.

Pengurus Kanan Penyelidikan, Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Munir berkata berdasarkan kepada situasi semasa, berkemungkinan lebih dari dua calon akan bertanding disebabkan senario mewakili faktor kaum.

Jika kedua-dua parti gabungan besar Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu, maka pasti ada calon bukan Melayu juga dari India atau Cina yang akan menawarkan diri.

"Pilihan meletak calon dari bukan Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu oleh kedua dua blok parti adalah disebabkan oleh faktor sejarah kawasan dan faktor komposisi calon secara keseluruhan di peringkat negeri yang perlu ada wakil membabitkan pelbagai kaum.

"Maka pada waktu itu calon dari kaum Cina dilihat dihantar oleh kedua blok parti gabungan, PH (DAP) dan PN," katanya kepada BH.

Beliau mengulas calon yang bakal bertanding pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini. Esok akan diadakan penamaan calon.

Khairul Ariffin berkata, PRK DUN Kuala Kubu Bharu ini dilihat amat penting bagi kedua-dua parti gabungan PH-Barisan Nasional (BN) dan PN (PAS-BERSATU- GERAKAN) kerana masing-masing ingin memperlihatkan sejauh mana kini sokongan rakyat terhadap senario politik negara.

Khairul Azhari Saut (kiri) dan Pang Sock Tao.
Khairul Azhari Saut (kiri) dan Pang Sock Tao.

Beliau menjelaskan antara percaturan utama adalah faktor calon kerana komposisi kaum iaitu Melayu 51 peratus, India 17 peratus dan Cina 36 peratus.

"DUN ini secara tradisinya adalah kawasan Cina yang mana dulu kawasan GERAKAN ketika mereka masih dalam BN. DAP mula menang kawasan ini pada PRU 2013. Maka ini akan memperlihatkan tempat berentap antara GERAKAN-BN dan DAP.

"Menariknya ...kompisisi kaum berubah setelah persempadanan baru pilihan raya pada 2018 yang menyebabkan kawasan ini menjadi dominan Melayu.

"Perubahan ini menjadi isu utama menyebabkan parti politik yang dulunya meletakkan calon berbangsa Cina, kini mula membuat pertimbangan untuk meletak calon Melayu sebagai calon dalam suasana politik kaum mutakhir ini," katanya.

Mengulas lanjut, Khairul Ariffin berkata, PRK yang lebih 'zoom in' membawa percaturan luar kotak norma kebiasaan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Maka calon Melayu juga menjadi pertimbangan utama blok parti politik disebabkan realiti komposisi kaum semasa.

"Lebih menarik, masyarakat India juga menggesa calon mereka bagi kedua-dua blok kerana wakil rakyat India kurang dalam DUN Selangor," katanya.

Mengulas mengenai pencalonan calon Cina oleh DAP, katanya beliau percaya pertimbangan DAP mengambil kira sentimen penyokong kuat parti itu yang memberikan kemenangan besar kepada DAP pada 2013 dan PRN yang lalu.

"Mengekalkan calon Cina juga dibuat atas dasar menghormati kerusi berkenaan milik calon Cina atas dasar komposisi keseluruhan negeri, malah mendiang Lee Kee Hiong dilihat sebagai orang yang rapat dengan penduduk tempatan terutama pengundi Cina," katanya yang percaya masih ada isu berhubung pengundi Melayu untuk mengundi PH.

Berita Harian X