Khamis, 28 March 2024 | 12:47pm
 Mohd Azizi Abu Naim. - Foto fail NSTP
Mohd Azizi Abu Naim. - Foto fail NSTP

Saya masih tunggu kenyataan terbuka Wan Saiful - MP Gua Musang

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim sehingga kini masih menunggu kenyataan terbuka Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung fitnah yang dikaitkan dengan dirinya.

Mohd Azizi berkata, hingga kini tiada kenyataan dibuat oleh Wan Saiful di luar Parlimen selain mengemukakan bukti berhubung tuduhan yang dibuat dalam Parlimen Khamis lalu.

Tegasnya, beliau tidak sedikit pun takut dengan tuduhan Wan Saiful kerana mendakwa perkara itu tidak berlaku sama sekali.

"Sekali lagi saya bersumpah demi Allah bahawa saya tidak pernah menghubungi beliau atau memujuk beliau (Wan Saiful) untuk menyokong Perdana Menteri, sebaliknya hanya terserempak dengan beliau pada Januari lalu di sebuah hotel.

"Jadi jika benar tuduhan beliau, saya masih menunggu kenyataan dibuat sekali lagi di luar Parlimen, namun hingga kini tiada.

"Saya kenal Wan Saiful, sebenarnya dia tiada apa-apa dalam BERSATU dan sudah dipulau oleh parti sendiri. Sebab itu saya tidak melenting dengan tuduhannya kerana sudah kenal Wan Saiful ini orang yang bagaimana," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Azizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkata, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen Di Bawah Peraturan Mesyuarat 36(6) dan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Usul saya untuk merujuk Wan Saiful kepada Jawatankuasa berkenaan sudah diterima dan Wan Saiful akan dipanggil bagi mengemukakan bukti segala tuduhannya itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Wan Saiful mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi menjadi 'ejen memujuk' wakil rakyat pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wan Saiful ketika membangkitkan dakwaan itu di Parlimen turut menggesa Speaker Dewan Rakyat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mengambil tindakan sewajarnya.

Berita Harian X