Isnin, 4 March 2024 | 10:58am
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto BH
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto BH

PAS bertanding jika kerusi BERSATU kosong - Mohd Amar

KOTA BHARU: PAS bersedia berdepan pilihan raya kecil (PRK) sekiranya ada kerusi Ahli Parlimen daripada BERSATU dikosongkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun memaklumkan, perkara itu perlu menunggu keputusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan proses itu mengambil masa yang agak lama.

"Mengikut maklumat yang kita terima, pimpinan BERSATU bersetuju meminda perlembagaan dan menerusi perlembagaan itu, mana-mana ahli yang keluar atau memberi sokongan kepada parti lain akan terlucut jawatan mereka.

"Pindaan berkenaan perlu mendapat kelulusan ROS, prosesnya lama dan tidak tahu bila (lengkap). Namun jika kata berlaku PRK, kita bertandinglah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, BERSATU akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Berita Harian X