Isnin, 5 Februari 2024 | 3:54pm
Fat Full (kiri) menyaksikan Khazan (dua kiri) menyerahkan limau
Fat Full (kiri) menyaksikan Khazan (dua kiri) menyerahkan limau

Dalang cuba wujudkan perpecahan kalangan pimpinan BERSATU - Fat Full

KUALA TERENGGANU: Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Chong Fat Full mendakwa terdapat 'dalang' cuba mewujudkan perpecahan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti itu.

Katanya, dalang dalam kalangan pimpinan tertinggi BERSATU itu dikatakan bekerjasama dengan parti lawan untuk melemahkan kekuatan parti yang semakin mendapat sokongan rakyat.

"Dalang berkenaan cuba menggagalkan usaha BERSATU dan PAS untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kesempatan itu diambil Anwar untuk memberi gambaran bahawa pemimpin BERSATU berpecah-belah dan gabungan antara PAS semakin lemah," katanya selepas Program Agihan Limau Mandarin Sempena Tahun Baharu Cina (TBC), di sini, hari ini.

Majlis pengagihan limau dilakukan Setiausaha BERSATU negeri, Khazan Che Mat. Yang turut hadir, Ketua Sayap Bersekutu negeri, Lim Chiew Sieng.

Fat Full berkata, usaha dalang yang bersekongkol dengan parti lawan, terutama untuk mewujudkan dua kem kalangan pimpinan tertinggi BERSATU gagal apabila mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) secara bersemuka diadakan Ahad lalu.

"Pada mesyuarat itu, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peluang kepada semua jawatankuasa tertinggi meluahkan perasaan, terutama berkaitan dakwaan punca wujudkan perpecahan kalangan pimpinan tertinggi.

"Semua prasangka kekeliruan setiap pemimpin berjaya diselesaikan secara bersemuka dan usaha cuba memecahbelahkan parti berjaya diselesaikan," katanya.

Berita Harian X