Sabtu, 13 Januari 2024 | 9:32am
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Langkah Dubai: Perlembagaan UMNO sekat wakil rakyat belakangkan parti

KUALA LUMPUR: Perlembagaan UMNO telah dipinda pada 13 Januari 2023 untuk menghalang ahli parlimen parti itu berubah sokongan atau membelakangi keputusan parti.

Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perlembagaan UMNO diubah ketika Perhimpunan Agong UMNO Khas Januari tahun lalu turut menghalang ahli politik UMNO menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

"Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperuntukkan keahlian UMNO akan tergugur secara automatik sekiranya Ahli UMNO yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

"Ini termasuklah menanda-tangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti," katanya menerusi Facebook.

Asyraf berkata kesan daripada keahlian yang digugurkan, Akta Anti Lompat Parti memperuntukkan kerusi ahli parlimen yang dimenangi itu akan diisytiharkan kosong bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Setiap ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga terikat dengan perjanjian dan akujanji yang ditanda-tangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah yang mereka terikat dengan bon berjumlah RM100 juta.

"Sebarang pelanggaran menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti sebagaimana kes Zuraida lawan parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bon RM10 juta yang ditetapkan PKR adalah sah dan wajib dibayar," katanya.

Asyraf berkata, pindaan perlembagaan parti itu dibuat setelah UMNO mengambil iktibar ketidakstabilan politik yang memudaratkan rakyat dan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018.

Sebelum ini negara digemparkan dengan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop yang mendakwa ada gerakan dikenali "Langkah Dubai". Ia wujud susulan ada pertemuan antara pemimpin PN dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Sanusi, yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Bagaimanapun, bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan berpendapat usaha menumbangkan kerajaan hanya cerita politik untuk kerajaan dan pembangkang kekal relevan.

Beliau berkata, realitinya 'Langkah Dubai' disifatkan sebagai tidak masuk akal berdasarkan sokongan semasa Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Berita Harian X