Khamis, 30 November 2023 | 7:38am
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) ketika berucap sempena kempen PRK Kemaman. - fotoBERNAMA
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) ketika berucap sempena kempen PRK Kemaman. - fotoBERNAMA

'Memang tiada MP UMNO yang akan paling tadah sokong PN'

CHUKAI: Tiada ahli Parlimen UMNO yang akan berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu adalah mustahil memandangkan mereka terikat dengan perjanjian yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiap ahli Parlimen yang ingkar dengan arahan dan keputusan parti secara sukarela perlu melepaskan keahlian dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini bukan soal nak tukar kerajaan, tiga hari lepas, (Presiden PAS) Tan Sri Abdul Hadi Awang ada sebut bahawa Kemaman ini penting untuk mereka mula tukar kerajaan.

"Ini sama ada igauan atau pun mimpi (kerana) setiap kali dia cakap, seorang lompat (beri sokongan kepada Perdana Menteri). Hari ini, Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan ada 153 orang (sedangkan) Ahli Parlimen PN ada 69 orang.

"(Jadi) macam mana nak tubuh kerajaan? Kena ada 112 orang. (Sekarang ini ada) 69 (orang), nak cari mana lagi? Kononnya dia kata sedang pujuk ahli Parlimen kita (dan) saya (sebagai) Setiausaha Agung UMNO (nak) beri jaminan tidak ada seorang pun ahli Parlimen kami yang akan berpaling tadah. Tak ada," katanya berucap pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI di Geliga, malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata, ahli Parlimen yang ingkar arahan akan keluar daripada parti itu secara sukarela sekali gus perlu mengosongkan kerusi serta membayar bon RM100 juta sekiranya ingkar kepada ketetapan parti.

"Apa kesannya? Kesannya adalah Akta Anti Lompat Parti (kerana) apabila dia keluar daripada parti, maka dia terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

"Kedua, mereka juga menandatangani perjanjian, setiap orang kena bayar bon RM100 juta kalau ingkar kepada ketetapan parti," katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mengakui PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

Katanya, pencalonan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu di Parlimen Kemaman adalah sebahagian daripada persediaan mereka untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Berita Harian X