Rabu, 22 November 2023 | 12:02pm
Ahmad Samsuri bertemu penjual di Pasar Binjai, Chukai. - Foto IHSAN PEJABAT MENTERI BESAR
Ahmad Samsuri bertemu penjual di Pasar Binjai, Chukai. - Foto IHSAN PEJABAT MENTERI BESAR

Ahmad Samsuri miliki kelebihan untuk menang

KUALA TERENGGANU: Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memiliki banyak kelebihan dan mampu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember depan.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, berkata Menteri Besar Terengganu itu bakal menang bergaya, biarpun Barisan Nasional (BN) mempertaruh Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mempunyai kelebihan kerana beliau bukan sahaja Menteri Besar Terengganu, malah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pentadbiran.

"Beliau (Ahmad Samsuri) menyakinkan rakyat Terengganu untuk bersama-sama dengan kepimpinan PAS di Terengganu sehingga dapat mengekalkan kemenangan Terengganu dengan 32-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kejayaan PAS dalam menunaikan manifesto di Terengganu juga memberi kelebihan kepada Menteri Besar Terengganu memenangi PRK Kemaman ini.

"Parlimen Kemaman juga mempunyai sokongan BN yang ramai, namun peralihan sokongan kepada PAS juga diambil kira kerana faktor kepimpinan negeri yang diterajui oleh Ahmad Samsuri yang bersikap profesional dalam setiap tindakan politiknya," katanya di sini, hari ini.

Hussain berkata, Ahmad Samsuri orang yang mementingkan integriti dalam pentadbiran dan tidak terbabit dalam skandal atau kes mahkamah.

Menurutnya, sikap profesional Ahmad Samsuri juga akan menjadikan semangat federalisme di antara Kerajaan Terengganu dan Persekutuan berjalan dengan baik.

"Perlu diingatkan juga lawan yang ditentang Ahmad Samsuri ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak kurang hebatnya.

"Beliau juga dibesarkan di Kemaman serta mempunyai keluarga di Kemaman memberi inspirasi politik yang unik kerana kebolehan, kepakaran dan pengalaman yang tidak diboleh dinafikan akan mendapat perhatian daripada pengundi Kemaman," katanya.

Hussain berkata, Raja Mohamed Affandi masih belum dikenali oleh penduduk Kemaman, termasuk jentera BN yang akan bekerja untuk beliau.

"Sokongan anak muda juga penentu utama dalam PRK Kemaman dan pendekatan utama perlu diambil kira oleh Raja Mohamed Affandi jika mahukan kemenangan kepada BN," katanya.

Raja Mohamed Affandi bertemu peniaga pasar malam di Kampung Paya Berenjut, Kemaman. - Foto BERNAMA
Raja Mohamed Affandi bertemu peniaga pasar malam di Kampung Paya Berenjut, Kemaman. - Foto BERNAMA

Berita Harian X