Jumaat, 29 September 2023 | 8:58pm
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam berjumpa kaum Cina semasa berkempen PRK DUN Pelangai di Sungai Gapoi. - Foto BERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam berjumpa kaum Cina semasa berkempen PRK DUN Pelangai di Sungai Gapoi. - Foto BERNAMA

Ceramah PAS menyebabkan polis berjaga-jaga - Raja Kamarul Bahrin

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertikai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang 'rimas' dengan kehadiran polis semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ahli Jawatankuasa AMANAH pusat, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, mendakwa kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin PAS sendiri seolah-olah membuatkan polis 'terpaksa' hadir di kawasan berkenaan bagi menjaga ketenteraman awam.

Beliau berkata, Takiyuddin sebagai pengamal undang-undang sepatutnya sedar pentingnya keselamatan memandangkan DUN Pelangai menjadi tumpuan pada waktu ini, terutama oleh orang luar.

Beliau berkata, polis wajar bersikap berhati-hati menjaga ketenteraman dengan memantau kemungkinan berlaku ketegangan.

"PAS telah menyumbang ke arah ketegangan politik tempatan semasa di Pelangai dengan ceramah provokasi berapi-api oleh seorang menteri besar mereka.

"Dalam kempen di Pelangai, serangan keterlaluan terhadap ahli DAP berbangsa Cina tentang kegunaan ayat al-Quran yang (dibuat) dewan penyokong bukan Islam PAS sendiri pernah lakukan juga, diapi-apikan di kawasan Pelangai yang mempunyai 20 peratus pengundi Cina.

"MB (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad) Sanusi (Md Nor) telah membayangkan jutaan orang Islam akan membanjiri Kuala Lumpur berdemonstrasi protes insiden Howard Lee dari DAP.

"Tidak cukup dengan itu, serangan peribadi mencarut menyentuh keadaan tubuh badan ahli DAP juga berlaku sambil juga mengatakan akan ada 'apek berseluar pendek' mengajar agama di masjid suatu hari.

"Dengan situasi yang memanaskan suhu politik tempatan, lebih baik pihak polis lebih berjaga-jaga supaya api kebencian ini tidak merebak. PAS tidak patut menyalahkan pihak berkuasa kerana merekalah yang memanaskan suhu politik negara dan di Pelangai dari awal minggu pertama lagi kempen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X