Isnin, 4 September 2023 | 7:25pm
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Foto fail NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Foto fail NSTP/Nur Aisyah Mazalan

PN makin terdesak di Parlimen Pulai - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU: Kempen calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar, daripada BERSATU didakwa semakin suram sehingga pemimpin utama parti itu terdesak membuat kenyataan kontroversi bagi meraih sokongan pengundi Parlimen Pulai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pimpinan utama BERSATU semakin tersepit dengan gerak kerja jentera kempen calon mereka di Parlimen Pulai berikutan ia dilihat tidak serancak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang ditandingi wakil daripada PAS.

Katanya, kelemahan jentera kempen PN di Pulai disebabkan penyokong PAS dilihat lebih memberi tumpuan kepada calon mereka di Simpang Jeram yang dikatakan memiliki peluang cerah untuk menang di kerusi DUN berkenaan.

"Apa yang berlaku pada Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan BERSATU ini adalah kifarah atas semua pengkhianatan yang dilakukannya bukan sahaja pada UMNO, malah khianat pada kepercayaan rakyat.

"Nampaknya BERSATU mula disisihkan oleh PAS. Masa mula-mula kempen, ramai pemimpin 'heavyweight' PAS turun ke Johor untuk berkempen, tetapi nampak gayanya kedatangan mereka itu nak kempen untuk menangkan calon mereka di Simpang Jeram.

"Sebab itulah kita nampak BERSATU baru nak 'start all out' bila masuk pusingan kedua kempen semalam. Barulah nampak pemimpin utama BERSATU, terutama Muhyiddin turun berkempen di PRK Pulai.

"Mungkin mereka baru sedar PAS bukan lagi rakan politik mereka yang boleh dikerah buat kerja sesuka hati, mungkin mereka baru sedar PAS sekarang ini sudah 'up' status jadi tuan besar dalam PN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, berkata menerusi maklum balas rakan PH-BN di DUN Simpang Jeram, kempen PN di bawah PAS sememangnya rancak dan bertenaga jika dibandingkan dengan situasi kempen calon BERSATU di Parlimen Pulai.

Katanya, menerusi laporan diterima daripada jentera kempen PH-BN, calon BERSATU di Parlimen Pulai terpaksa berkempen sendirian tanpa banyak bantuan dari jentera PAS.

"Apabila baca laporan media pun mereka tulis kempen PN di Simpang Jeram lebih meriah berbanding di Pulai.

"Jadi kerana itulah pemimpin BERSATU terpaksa perah keringat sendiri turun padang untuk pastikan calon mereka menang di Pulai.

"Malah calon BERSATU, Zulkifli terpaksa keluarkan kenyataan menafikan bahawa PN, terutama PAS hanya beri fokus kepada kempen di kerusi Simpang Jeram berbanding di kerusi yang ditandinginya," katanya.

Nur Jazlan berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan jentera kempen PH-BN di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang berjalan cukup agresif dan tersusun.

Katanya, pemimpin utama dari PH-BN silih berganti turun padang berkempen untuk memastikan kemenangan calon di kedua-dua kawasan PRK.

"Selepas pemimpin UMNO, datang pula pemimpin PKR, selepas itu pemimpin DAP pula turun kempen, selepas itu pemimpin AMANAH juga selalu lawat kawasan.

"Daripada presiden parti sampailah ke ahli akar umbi BN dan PH dari seluruh negara turun membantu kempen calon kita di Pulai dan Simpang Jeram.

"Sebab itulah PN terutama BERSATU makin cemas dan mereka sendiri dapat rasakan akan kalah di kedua-dua PRK ini," katanya.

Berita Harian X